Gambar pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), Syarifah Firnaz Al-Yahya menyuap makanan kepada seorang penumpang warga emas menjadi perbualan hangat di kalangan pengguna media sosial Malaysia. Rata-rata memuji perbuatan yang dilakukan pramugari itu malah ada juga setengah pihak yang mengatakan ianya sekadar lakonan sahaja.
Ayah kepada pramugari tersebut melahirkan rasa bangga apabila mendapat tahu anaknya menyuap makanan kepada seorang penumpang warga emas.
“Kawan saya yang hantar gambar itu menerusi Facebook. Dia tanya ‘Itu anak awak ke?’ tetapi saya cakap itu gambar lama, sudah dua tahun pun.
Menurut Syed Farieh Hassan, dia ada rasa sedih bila ada yang mengatakan apa yang dilakukan anaknya hanyalah satu drama sahaja.
“MAS memang terbaik. Saya cakap ini bukan kerana saya pernah berkhidmat bersama mereka dan anak saya kini pramugari tetapi keselamatan diutamakan ketika latihan. MAS juga untuk beberapa tahun pernah memenangi anugerah kru penerbangan terbaik oleh Skytrax,” jelasnya lagi.
Syed Farieh turut berkata anak beliau membantu seorang warga emas yang duduk di kelas ekonomi dan ini menunjukkan dedikasi kru MAS.
“Saya tidak hairan jika ia berlaku di kelas Pertama atau Perniagaan (Business Class), jadi mereka memang akan memberikan layanan yang bagus. Tapi Kelas Ekonomi MAS memang ada ‘kelas’,” tambah Syed Farieh.
Ditanya tentang personaliti anak beliau, beliau akui bahawa Syarifah Firnaz memang mesra, bukan sahaja ketika bekerja tetapi di rumah bersama ahli keluarga.
-Astro Awani