Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyeludup 15 batang rokok dengan menyembunyinya di dalam tiga biji roti sosej di Sungkai, Perak.
Laporan berita mstar.com.my mengatakan ketika malaporkan diri, remaja 17 tahun berkenaan mendakwa roti tersebut merupakan bekalan makanannya jika terasa lapar semasa menjalani latihan. Walaubagaimanapun, tindakannya itu dikesan ketika jurulatih kem tersebut melakukan pemeriksaan terhadap pelatih Kumpulan 2, Siri 11 yang melapor diri pada Rabu.
Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap remaja itu, dia kelihatan tenang dan enggan menyerahkan roti tersebut. Bagaimanapun, seorang daripada jurulatih yang memeriksa roti tersebut menemui lima batang rokok yang dibungkus kemas dengan plastik di dalam setiap biji roti. Kesemua rokok itu kemudiannya dirampas dan pelatih berkemungkinan akan dikenakan hukuman kerana kesalahan menyeludup rokok.