Laporan dari seluruh pelosok Indonesia baru-baru ini menunjukkan sebanyak 6,600 calon yang merebut kerusia di Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen mengalami tekanan, kecenderungan menjadi gila malah bertindak membunuh diri berikutan kerugian yang mereka alami. Banyak calon yang gagal memperoleh undi terbanyak pada Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen 9 April lepas, mengalami tekanan selepas dilaporkan memberi segala yang ada termasuk wang peribadi, dalam usaha meraih sokongan rakyat.
Misalnya, agensi berita Antara melaporkan bahawa Muhammad Taufiq, 50, yang bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum itu, kecewa setelah mengetahui beliau tidak memperoleh undi mencukupi bagi menjamin tempatnya di DPR.
Selain itu, kekecewaan yang dihadapi calon juga dilaporkan di Tulungagung, Jawa Timur apabila calon daripada Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Miftahul Huda, telah menyumbangkan sejumlah wang bagi membina sebuah masjid. Miftahul menuntut agar masjid berkenaan memulangkan wangnya setelah mengetahui beliau gagal dalam pilihan raya tersebut selepas hanya memperoleh 29 undi dalam kawasannya di Kampung Majan.
Satu laporan tragis turut berlaku di Banjar, Jawa Barat apabila seorang ibu muda menggantung dirinya selepas kalah dalam pilihan raya umum berkenaan. Penduduk tempatan menemui mayatnya tergantung di pohon buluh di perkampungan desa di Limusnunggal di daerah Ciamis, Jawa Barat.
Pegawai psikologi, Tika Bisono berkata tekanan atau kemurungan dan masalah mental lain dalam kalangan calon yang kalah merupakan isu yang dijangka berlaku disebabkan kekurangan kriteria atau maklumat daripada parti-parti politik.
“Ternyata bahawa semua calon harus menyediakan sejumlah wang yang besar untuk menjadi calon, namun apabila mereka gagal, ada kemungkinan mereka akan menjadi tertekan,” katanya kepada Jakarta Pos.
Beliau berkata parti-parti politik perlu bertanggungjawab untuk membimbing calon masing-masing termasuk mengendalikan masalah jika mereka gagal dipilih sebagai wakil rakyat atau anggota majlis tempatan.
– Bernama