Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan penguatkuasaan hukum Hudud di negara itu pada Oktober 2013 yang akan berkuatkuasa pada April 2014. Walaubagaimanapun, perlaksanaan hukum Hudud yang dibuat negara Brunei itu dianggap sebagai ‘membimbangkan’ oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangannya terhadap pelaksanaan pindaan undang-undang jenayah negara Brunei Darussalam yang akan dikuatkuasakan 22 April ini.
Menurut jurucakap bagi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) Rupert Colville, penggunaan hukuman mati bagi pelbagai kesalahan adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa.
“Kami menggesa kerajaan Brunei untuk menangguhkan tarikh kuatkuasa kod jenayah tersebut dan mengendalikan satu kajian yang komprehensif bagi memastikan ianya bertepatan dengan piawaian antarabangsa berkaitan hak asasi manusia, ” katanya.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, rejam sampai mati merupakan seksaan atau kezaliman yang tidak berperikemanusiaan,” ujar Rupert Colville.
Hukuman rejam sampai mati akan dilaksanakan untuk jenayah rogol, zina, sodomi, dan hubungan seks luar nikah untuk umat Islam. Brunei turut menetapkan hukuman mati untuk pelbagai kesalahan termasuk merompak, menghina atau memfitnah Nabi Muhammad SAW, menghina Al-Quran dan Hadis, kufur, mengisytihar diri seorang nabi atau keluar agama Islam serta membunuh.
Astro Awani, Utusan, Malaysia-Instinct.Net