Google hari ini mengumumkan pertandingan ‘Doodle 4 Google’ pertamanya di Malaysia, mengalu-alukan pelajar untuk mengetengahkan keriangan, kreativiti dan ketulenan melalui persembahan reka bentuk coretan unik dengan cita rasa tempatan.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, tema yang dipilih Google untuk pertandingan itu ialah “Malaysia kepada saya…”. Pertandingan melibatkan empat kategori umur iaitu 7-9, 10-12, 13-15 dan 16-17 tahun.
Pengurus Setempat Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, tema itu melibatkan budaya, kepelbagaian, manusia, makanan, tempat dan segala-galanya yang mewakili Malaysia, untuk para pelajar ini menggunakan imaginasi dan kreativiti.
Google mahu pelajar menceritakan apa yang mereka hargai tentang Malaysia dan mengapa mereka sukakan negara ini, yang penting kita mahu pelajar berseronok. Doodle merupakan lukisan, lakaran atau coretan yang tiada motif, abstrak yang menggambarkan apa yang sedang difikirkan oleh seseorang. Untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mengambil bahagian, Google akan melaksanakan kempen di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar, bermula Mei ini.
Pengguna Google dan hakim akan menyenarai pendek lima coretan terbaik dalam setiap kategori, manakala rakyat Malaysia boleh menentukan pemenang seterusnya di google.com.my/doodle4google, pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Coretan terpilih akan dihantar ke Ibu Pejabat Google di Amerika Syarikat untuk memutuskan pemenang, dengan karya yang menang akan dimuat naik ke laman utama Google Malaysia pada hari Malaysia, 16 September ini.