Mahasiswa yang tidak membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam tempoh 20 bulan akan disenarai hitam. Ini merupakan satu inisiatif baru diperkenalkan oleh PTPTN bagi menyelesaikan kemelut hutang yang semakin meruncing dalam kalangan mahasiswa. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akan menyenarai hitamkan nama peminjam sekiranya tiada bayaran yang diterima dalam tempoh 20 bulan.
Ketua Eksekutifnya, Agos Cholan berkata PTPTN tidak mengambil tempoh singkat untuk menyenaraikan seseorang peminjam sebaliknya memberi tempoh yang mencukupi.
Bagi peminjam yang kita senarai hitamkan biasanya mengambil masa selama 20 bulan baru kita senarai hitamkan. Kita mengambil langkah mesra bukan tak bayar sebulan terus senarai hitam.
“Mulanya peringatan, tiga bulan selepas itu notis pertama, notis kedua dan notis ketiga setiap tiga bulan kemudian baru surat tunjuk sebab. Tak bayar juga baru kita masukkan dalam senarai hitam,” jelas Agos.
Sekatan imigresen merupakan langkah terakhir yang akan dikenakan kepada peminjam sekiranya segala usaha lain sebelum ini gagal.
Setakat ini, seramai 130,000 peminjam disenarai hitamkan namun seramai 45,000 tampil untuk berunding dengan PTPTN agar nama mereka dikeluarkan daripada senarai itu.
Peminjam PTPTN boleh ke laman web rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional untuk keterangan lanjut.