Seperti yang sedia maklum, tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia jadi di kesempatan ini Kerajaan Terengganu berusaha menjadikan Tasik Kenyir antara lokasi wajib bagi pengunjung yang datang ke Terengganu.
Kerajaan Terengganu akan menjadikan Tasik Kenyir lebih menarik dan unik, sekali gus menambat hati pengunjung terutama pelancong asing yang bakal dijadikan kawasan bebas cukai pertama di dunia menjelang September tahun depan.
Menurut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said antara perkara menarik yang bakal diwujudkan di Tasik Kenyir ialah tempat khas untuk kemudahan pelancong kaum wanita sahaja.
“Di tasik itu mempunyai banyak air terjun, dan satu daripadanya kita akan khaskan untuk kaum wanita sahaja iaitu semua urusan seperti pemandu bot, bahagian keselamatan dan sebagainya akan dikendalikan petugas wanita.
“Kita buat ini setelah menerima permintaan daripada pelancong asing terutama dari Asia Barat yang mahukan satu kawasan khas untuk kemudahan wanita,” katanya kepada Berita Harian.
Bukan itu sahaja, sehingga kini kerajaan membelanjakan RM300 juta bagi membangunkan tasik itu sebagai kawasan pelancongan dan tasik bebas cukai.