Diana Amir, Siti Nordiana, Farah Ashikin, Siti Nurhaliza, Irma Hasmie, Natasha Hudson, Sharifah Sofea, Abby Abadi, Rebecca Nur Islam, Shila Amzah, Lisdawati, Raja Farah, Ayu Raudhah, Mizz Nina, Bella Dally, Farah Anuar, Yatt Hamzah, Memey Suhaiza dan ramai lagi selebriti tanah air memilih penghijrahan yang lebih baik untuk kehidupan mereka.
Pada awalannya ramai yang terkejut dengan penampilan baru seperti Diana Amir, Mizz Nina, Irma Hasmie, Rebecca Nur Islam yang boleh dikatakan kesemuanya berimej seksi dengan melakukan penghijrahan ke arah kebaikan. Tetapi siapa kita untuk menyangkal niat serta penghijrahan murni mereka.
Penghijrahan ini adalah satu keputusan yang terbaik dalam kehidupan umat Islam, namun untuk golongan selebriti, pastinya mereka turut berdepan dengan pelbagai masalah. Ada satu ketika, beberapa selebriti ini mengakui turut dihina dan dipulaukan rakan-rakan apabila membuat keputusan untuk berubah.
Perkara ini terjadi kepada pelakon dan penceramah bebas, Catriona Rose yang menerima tekanan hebat daripada rakan-rakan yang tidak sehaluan sejak berhijab. Bukan sahaja penerimaan daripada rakan-rakan malah kebanyakan selebriti berhijrah ini amat sukar menerima peluang untuk beraksi di layar.
Perkara itu diakui oleh pelakon Lisdawati yang mengakui sejak berhijrah tawaran lakonan sudah tidak selebat dahulu. Menurut isteri kepada aktor hebat, Fauzi Nawawi ini, selain kurang tawaran, dia juga perlu memikirkan beberapa faktor sebelum menerima tawaran agar tidak melanggar syariat Islam.
“Kalau nak dibandingkan dengan dahulu, memang sekarang susah sikit nak cari makan dalam bidang lakonan. Selain perlu selektif dalam pemilihan watak yang bersesuaian, syarikat produksi dan stesen televisyen juga kurang memberi ruang kepada kami untuk beraksi. Malah, mereka lebih selesa mengambil pelakon yang tidak bertudung dan ‘ditudungkan’ dalam naskhah itu,” katanya lagi.
“Sebagai contoh, sebelum ini, saya selalu menerima tawaran daripada stesen televisyen berkonsepkan Islamik, namun selepas berhijrah, saya langsung tidak dipanggil lagi. Saya pun pelik juga kerana sebelum ini, syarat-syarat mereka jelas menetapkan pemilihan pelakon sangat terperinci dan tiada adegan bersentuhan. Namun, kebanyakan yang dipilih bukan dari kalangan yang bertudung sepenuhnya. Tapi, saya anggap ianya sebagai rezeki dari ALLAH SWT. Jika saya tidak dipilih, itu maknanya bukan rezeki saya,” jelas pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Menurut pelakon Sharifah Sofea pula secara logiknya, susah untuk membuat banyak karakter bila sudah berhijab. Malah, jika diteliti mengenai jalan cerita, susah nak terapkan untuk pelakon bertudung jika babak di rumah. Mana ada isteri atau ibu yang yang perlu menutup aurat ketika bersama suami dan anak-anak. Jadi, secara realitinya ia adalah satu kesukaran untuk pelakon bertudung.
Pelakon Diana Amir juga mengalami nasib yang sama sejak berhijrah. Kekurangan tawaran itu adalah kerana kesesuaian watak kerana selepas berhijrah saya perlu lebih selektif.
“Saya akui, sejak berhijrah, tawaran lakonan semakin berkurangan. Namun, saya memandangnya sebagai perkara positif dan menganggapnya sebagai satu ujian dari Allah SWT. Ada tawaran yang inginkan saya membuka tudung, namun saya tolak dengan berhemah. Walaupun kurang tawaran, namun, saya masih terlibat dalam pengacaraan dan bidang penulisan buku,” jelasnya.
Walaubagaimanapun, penyanyi Mizz Nina memberitahu dia nekad untuk berhenti daripada melibatkan diri dalam bidang nyanyian. Mizz Nina berkata dia berbuat demikian kerana ingin menjadi seorang wanita Islam yang lebih baik dan langsung tidak menyesal dengan keputusan tersebut.
“Saya buat keputusan ini bukan kerana mengikut kesesuaian imej semata-mata tetapi ia lebih melibatkan tentang kepercayaan saya terhadap Islam. Alhamdulillah, tidak berat sebenarnya membuat keputusan ini. Lagipun, dalam dunia seni, banyak lagi perkara yang boleh saya lakukan sebagai contoh membaca puisi atau melibatkan diri dalam pengacaraan,” katanya.