Tahniah diucapkan kepada Pian Cecupak, Nash dan juga Boy Iman atas gelaran Datuk yang diterimanya baru-baru ini. Rasanya semua orang mengenali pelawak Pian Cecupak yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi pengakuannya yang melakukan suntikan wajah untuk mendapatkan wajah persis penyanyi Dafi. Dikhabarkan telah dianugerahkan Darjah Jaksa Naning Melaka (D.J.N.M), dari Kerajaan Naning sekaligus membawa gelaran Datuk.
Meskipun gelaran itu menjadi pertikaian oleh segelintir pihak, namun Pian tetap bersyukur kerana dia terpilih menerima gelaran itu bersama Boy Iman dan Nash.
“Terpulang orang nak cakap apa. Tapi saya sebenarnya banyak melakukan kerja-kerja amal bersama anak yatim, ibu tunggal dan juga jemaah masjid. Takkanlah segala benda, lebih-lebih lagi berkaitan amal saya nak hebohkan satu dunia. Saya melakukan kerja amal hanya kerana ALLAH SWT. Sesungguhnya hanya ALLAH SWT tahu apa yang saya buat sehingga mendapat kurniaan dan gelaran Datuk ini, ” katanya kepada Sinar Harian.
Pian kini banyak menghabiskan waktunya menyumbangkan keringatnya membantu golongan yang kurang bernasib baik selain menjadi orang yang bertanggungjawab menguruskan majlis-majlis keramaian bagi Kerajaan Naning.
Sementara itu bagi penyanyi Nash yang juga merupakan bekas vokalis kumpulan Lefthanded menjelaskan gelaran Datuk tidak membuatkannya mendabik dada malah dia masih Nash yang dulu lagi.
Mungkin tidak ramai yang mengenali pelakon Nurul Iman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman tetapi jika anda perasan pelakon ini banyak muncul di drama atau filem.
Bersyukur dengan gelaran Datuk yang diterima, Boy berkata, ia bagaikan satu mimpi di dalam hidupnya. Malah dia tidak menyangka kerja amal seperti projek amal bersama golongan gelandangan, anak yatim, orang-orang tua, ibu-ibu tunggal dan sebagainya menjadi faktor utama melayakkannya menerima gelaran Datuk.