Malaysia pernah mengalami fenomena El Nino pada 1998, di mana suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998 dan menurut Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino, yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan, akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini.
Namun, pakar kaji cuaca tempatan belum dapat memastikan bahawa Malaysia akan mendapat tempias El Nino pada kali ini namun jika ia berlaku, kemungkinannya ialah Malaysia akan menghadapi keadaan musim kemarau berpanjangan selama enam bulan mulai pertengahan tahun ini.
Yang paling penting adalah pihak pengurusan bekalan air dapat membuat persediaan awal menghadapi fenomena El Nino itu bagi mengelakkan krisis bekalan air yang serius.
Apa itu El Nino?
El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik. Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata hasil penyelidikan institusi itu yang menggunakan model ramalan dinamik ENSO (El-Nino Ayunan Selatan), ialah mereka meramalkan kebarangkalian 70 peratus ‘El Nino’ akan berlaku di Asia Tenggara. Kebarangkalian 70 peratus yang disebut bukan hanya berasaskan kepada model mereka sahaja tetapi menggabungkan maklumat dan kepakaran dari pusat-pusat Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) di seluruh dunia.
Kesan El Nino kepada Malaysia?
1. Ia mungkin akan menjejaskan dengan teruk keadaan bekalan air negara. Contohnya, jika paras air di empangan Sungai Selangor tidak mencapai kapasiti selamat iaitu 55 peratus, ia boleh menyebabkan kesan negatif yang lebih buruk menjelang pertengahan tahun ini.
2. Jika ukuran kekuatan El Nino di tahap yang kuat, ia boleh menyebabkan kekeringan yang teruk, iaitu 60 peratus daripada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur akan menghadapi situasi yang lebih buruk berbanding catuan air yang mereka telah alami dalam tempoh dua bulan yang lalu.