Menurut Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri, hari Ibu yang disambut pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun bagi umat Islam adalah harus.
Beliau berkata tidak menjadi satu kesalahan untuk anak-anak meraikan Hari Ibu bagi menghargai jasa insan istimewa itu yang banyak berkorban jiwa dan raga dalam mendidik serta membesarkan anak-anak.
“Mengucapkan Selamat Hari Ibu dan meraikan ibu yang melahirkan kita dan bersusah-payah membesarkan kita, mandikan kita dan membersihkan najis kita semasa kecil, adakah ia satu kesalahan? Walaubagaimanapun, perkara yang dilarang dalam Islam adalah menderhaka kepada ibu.
“Kalau kita lakukan sesuatu yang ‘harus’ dan dapat memberi kegembiraan kepada orang lain termasuk ibu sendiri ia merupakan sedekah dan dikira mendapat pahala,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan haram untuk umat Islam menyambut hari berkenaan kerana meniru perayaan orang Kristian yang menyambut hari ‘Mother of Church’.
Mohamad Shukri berkata Islam tidak pernah melarang umatnya mencontohi kebaikan orang lain termasuk Barat, namun sebarang perbuatan yang menyerupai upacara keagamaan lain serta bertentangan dengan syariat Islam amat ditegah.