Selain sambutan Hari Ibu Sedunia, tahukah anda , sambutan Hari Jururawat Sedunia juga jatuh pada bulan Mei iaitu pada 12 Mei setiap tahun . Tarikh ini dipilih bersempena dengan ulangtahun kelahiran Florence Nightingale , tokoh yang bertanggungjawab menjadikan jururawat sebagai profesion yang dihormati.
Kita sedia maklum bahawa bidang kejururawatan sememangnya penting dalam pembangunan masyarakat dan negara. Namun hakikatnya,seakan sudah menjadi stigma masyarakat kita yang seolah mengabaikan kepentingan profesion ini walhal ia adalah satu kerjaya yang penting dan mulia. Rata-rata daripada kita hanya memandang tinggi kepada kerjaya doktor dan tanyalah mana-mana ibubapa pun, pasti kebanyakannya mahu anak kecil mereka apabila dewasa kelak akan bergelar seorang doktor , jarang sekali yang menjadikan jururawat sebagai kerjaya pilihan.
Sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia yang jatuh pada hari ini, Wanista.com sempat menemubual ringkas seorang jururawat muda, Farah Shakinah Mohd Taib , 25 tahun yang memilih jururawat sebagai karier pilihannya, . Farah telah berkhidmat di Pusat Perubatan Malaya selama 4 tahun di bahagian Pediatric Surgery. Ikuti temubual bersama beliau tentang kerjaya seorang jururawat dari perspektif beliau.
Boleh kongsikan mengapa kerjaya ini menjadi pilihan anda?
Sebenarnya saya memang berminat untuk menjadi jururawat sejak daripada bangku sekolah lagi. Saya merasakan bahawa karier ini sesuai dengan jiwa saya dan sudah tentu memilih kerjaya yang bertepatan dengan minat itu penting supaya kita kurang berasa tertekan apabila bekerja dan sentiasa happy. Selain itu saya juga suka merasakan yang bekerja sebagai jururawat akan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Apa stereotype cetek yang selalu dilabelkan terhadap kerjaya ini?
Yang pertama streotype yang seorang jururawat mestilah seorang yang cantik. Ia seolah-olah satu perspektif seksis yang tidak tepat bagi saya. Kedua, ramai yang beranggapan seorang jururawat tidak boleh jatuh sakit, walhal kami juga manusia biasa, sama seperti orang lain. Ada juga segelintir masyarakat yang berfikiran semua jururawat mesti punya kemahiran mengurut, saya kadang-kadang hairan bagaimana boleh timbulnya perspektif seperti ini. Akhir sekali, saya selalu dengar tentang personaliti jururawat yang sering dikaitkan dengan sifat garang, percayalah itu hanya streotype yang sudah lapuk.
Selain itu, ramai juga yang salah anggap yang kesibukan bekerja sebagai seorang jururawat akan menyebabkan kami sukar untuk menguruskan keluarga dan rumah tangga, streotype ini juga salah, hakikatnya kerja sistem syif seperti kami menyebabkan kami punya lebih masa untuk fokus pada urusan rumahtangga waktu orang lain sibuk bekerja.
Seperkara lagi, saya juga tidak setuju dengan segelintir pandangan masyarakat yang menganggap kerja yang dilakukan kami kotor dan seolah-olah seperti kuli dan beri label “tak standard” kepada karier jururawat.
Adakah anda suka dengan pekerjaan sekarang? Are you enjoying it?
Yes, I love my job. Tambahan pula saya sekarang ditempatkan di unit rawatan kanak-kanak dan saya seorang yang sukakan kanak-kanak. Walaupun perlu bekerja di bawah tekanan yang tinggi, tetapi itu semua berbaloi bagi saya, satu perasaan yang indah apabila melihat pesakit yang sudah sembuh pulang ke rumah sambil senyum dan mengucapkan “terima kasih” kepada kami.
Itu merupakan satu kepuasan bagi saya apabila dapat membantu orang lain dan secara tidak langsung, perkara tersebut dapat menjadi refleksi kepada diri saya sendiri supaya tidak mudah berputus asa dalam kehidupan kerana sebenarnya banyak lagi individu yang terpaksa “berjuang” untuk terus hidup walaupun untuk hanya tempoh sehari.
Pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan
Sebagai jururawat, menjadi satu kegembiraan bagi saya apabila melihat kesihatan dan keadaan pesakit yang saya rawat semakin beransur pulih dan akhirnya mereka boleh pulang ke rumah dan datang semula ke hospital untuk follow up dalam kesihatan yang baik. Ia satu perasaan indah yang saya tidak dapat huraikan dengan kata-kata.
Pernah sekali, saya merawat seorang pesakit yang berusia 5 tahun yang dimasukkan ke wad kerana terkena tumpahan air panas. Apabila sudah sembuh dan boleh pulang ke rumah, dia datang kepada saya dan berikan satu lukisan kartun Spongebob dengan tulisan ‘Thank You Nurse” dan dia turut beri saya sebotol minuman Yakult. Itu momen paling manis yang saya simpan kerana kita tahu kanak-kanak bersifat jujur dan merea ikhlas dalam menghargai orang yang berbuat baik kepada mereka.
Cabaran sebagai seorang jururawat
Cabaran utama bagi saya adalah dari segi kekangan masa. Selain itu saya merasakan cabaran seorang jururawat hari ini adalah dalam menghadapi pesakit yang jauh lebih berpengetahuan sekarang. Sekarang maklumat semuanya berada di hujung jari, dan kadang-kadang pesakit punya pengetahuan yang lebih luas daripada kami.
Selain itu, cabaran yang paling ketara adalah bilangan pesakit yang semakin meningkat, jumlah pesakit kini sudah semakin meningkat namun kuota katil tetap sama dan begitu juga dengan tenaga pekerja. Walaubagaimanapun, kami tetap harus memberi perkhidmatan sebaik mungkin.
Perbezaan jururawat generasi dahulu dan sekarang
Pada pandangan saya, jururawat hari ini berhadapan dengan pesakit yang lebih berpelajaran dan bijak dan semestinnya mereka punya exposure yang lebih baik berbanding pesakit dahulu. Jadi, jururawat sekarang perlu sentiasa update pengetahuan dan kemahiran mereka sehari-hari.
Nasihat kepada individu yang ingin menceburi bidang ini
Mereka yang ingin menceburi bidang jururawat harus punya kekuatan mental dan fizikal yang kuat. Seorang jururawat harus mempersiapkan diri untuk bekerja di bawah tekanan, menepati masa dan sentiasa cergas . Seorang jururawat juga harus pandai mengawal emosi, sentiasa terbuka dalam menerima perubahan dan sentiasa alert dengan keadaan sekeliling kerana satu perubahan kecil pun boleh memberi kesan yang besar kepada nyawa pesakit.