Apa yang terlintas di minda anda jika terlihat ikan patin? Mesti terbayangkan ikan patin masak gulai tempoyak bukan, lebih-lebih lagi dimakan bersama nasi panas, ulaman dan sambal belacan memang ummph. Tapi difahamkan jika orang yang tidak pandai masak atau basuh ikan ini memang tidak boleh makan kerana rasa yang kurang enak atau hanyir.
Tapi Wanista pasti tidak ramai yang tahu dan kenali ikan patin, tahukah anda ikan patin mempunyai banyak jenis. Ikan Patin atau nama saintifiknya Pangasius Sutchi adalah spesis ikan air tawar jenis meserba yang mendiami kawasan-kawasan sungai dan lombong-lombong.
Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan, tidak bersisik dan lembut. Saiznya boleh mencecah 1 meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20kg. Diet utama spesis ini adalah anak-anak ikan, buah-buahan sungai, udang dan bangkai binatang.
Ikan patin sungai mempunyai nilai komersial yang tinggi dan ada yang diternak di kolam-kolam (patin kolam) dan di sangkar-sangkar (patin sangkar). Terdapat beberapa jenis ikan patin yang biasa dikenali antaranya ialah:
Patin Kolam – biasanya warna hitam
Patin Sangkar – warna hitam dan putih
Patin Sungai – warna cerah atau kelabu
- Patin Buah
- Patin Muncung
- Patin Juara
Ikan patin terkenal akan kandungan vitaminnya yang tinggi dan sangat baik untuk kesihatan. Ikan patin juga mempunyai kandungan gizi yang tinggi, oleh kerana itu ikan patin banyak digunakan sebagai sumber protein berkualiti tinggi, vitamin dan juga mineral. Kandungan protein dalam ikan patin lebih kaya dari ikan tawar jenis lain. Sumber protein yang terkandung dalam ikan patin adalah sekitar 23-28%. Kandungan lemak dalam ikan patin lebih rendah berbanding dengan ikan lain, sehingga baik untuk kesihatan. Selain itu ikan keli juga mengandungi asid lemak DHA dan EPA, omega 3, vitamin A, vitamin D, vitamin B6, vitamin B12, zat besi, iodin, selenium.
Selain mempunyai kandungan gizi yang baik untuk kesihatan, ikan keli juga mempunyai khasiat untuk mencegah penyakit kardiovaskular, kerana mengandungi lemak tak tepu sebanyak 50%, selain itu lemak tak tepu dalam ikan patin berkhasiat untuk menurunkan kolesterol jahat, sehingga dapat mencegah dan mengurangkan risiko penyakit jantung koroner. Dengan mengambil ikan patin juga sangat bagus untuk anda yang sedang menjalani program diet, kerana rendahnya kadar kolesterol sehingga dapat mengurangkan pengambilan kolesterol harian anda.
Ikan ini mencetuskan kontroversi kerana harganya yang boleh mencecah RM180.00 sekilogram terutamanya di sekitar negeri Pahang. Ikan Patin di Pahang terkenal dengan keenakan dan kelembutannya kerana mempunyai persekitaran yang sesuai sebagai habitat ikan ini. Rasanya sedap, isinya yang putih dan halus, kena pula dengan cara masakannya, sememangnya membuka selera para penggemar ikan air tawar. Walaubagaimanapun, jika tidak dicuci dan dimasak dengan betul boleh mendatangkan hanyir.
Namun sanggupkah anda membayar harga semahal RM 180.00 untuk menikmati ikan Patin Sungai Pahang? Apakah keistimewaan Patin ini dan kenapa orang sanggup membayar sebegitu mahal? Ada pula yang berharga lebih murah, RM 45.00 – 60.00 se kg. Kenapa harganya berbeza?
Bagi mereka yang tidak biasa, agak sukar untuk membezakan secara tepat spesies Patin ini kerana secara fizikalnya ikan Patin kelihatan sama. Namun spesis liar yang mendapat harga setinggi RM 170.00/kg iaitu Patin Muncung boleh dibezakan dengan dan Patin Buah (RM 60.00/kg) kerana ia dari genus yang berbeza.
Tabiat pemakanan yang unik ini menyebabkan spesis ini agak sukar untuk didomestikasi dalam kurungan. Keperluan kepada makanan semulajadi dan keengganan menerima makanan terumus menambah kesukaran ini. Pengurangan populasi di Sungai Pahang mungkin menyumbang kepada penurunan populasi Patin Muncung. Ini menyebabkan spesis ini sukar didapati dan menaikkan harganya di pasaran.