Kejadian yang berlaku di Australia ini melibatkan seorang ibu melahirkan bayi satu badan dua wajah. Ketika kandungan Renee Young berusia 19 minggu, doktor memberitahu dia dan suami mengenai keganjilan anak mereka, doktor menasihati supaya janin berkenaan digugurkan. Namun, selepas berbincang, pasangan suami isteri itu enggan. Sebaliknya mereka nekad meneruskan kehamilan sehingga takdir menentukan kesudahannya.
“Tetapi kami tidak sampai hati menggugurkannya kerana saya dapat merasakan degup jantung kandungan saya begitu kuat dan indah,” katanya.
Akhirnya Renee bersalin dan lahirlah pasangan kembar siam yang berkongsi badan, namun mempunyai wajah dan otak berbeza. Renee menggelar anak perempuannya itu ‘pejuang kecil.’ Kembar tersebut diberi nama Hope dan Faith.
Keganjilan itu katanya, dikenali sebagai ‘diprosopus’ dan menyebabkan Hope dan Faith berkongsi tengkorak, namun berasingan otak yang bercantum pada bahagian pangkal. Semua organ lain dikongsi. Bayi Hope dan Faith kini ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Kanak-kanak Westmead.
Di sebalik jangkaan awal, perkembangan positif ditunjuk kembar itu memang mengejutkan doktor. Bayi itu tiada masalah bernafas atau menyusu.
“Setakat ini, kami tidak tahu berapa lama mereka akan berada di hospital kerana doktor masih tidak dapat menjangka implikasi keadaan mereka itu. Apa yang penting adalah kami tidak sabar membawa mereka pulang.
“Jika mereka hidup dua hari, dua harilah tempoh kami dapat nikmati bersama mereka. Sekurang-kurangnya ada waktu yang dapat diluangkan bersama mereka biarpun singkat,” katanya.