Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menganjurkan program Citrawarna Kuala Lumpur 2014 pada 24 Mei 2014 di sekitar Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.
Acara yang berkonsepkan perarakan kebudayaan, kesenian dan pelancongan pelbagai kaum dan etnik di Malaysia dan Kuala Lumpur khususnya ini bertujuan untuk menggalakkan promosi pelancongan domestik di kalangan pelancong asing terutama bagi kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Laluan perarakan ialah melalui MaTiC (pintu belakang) ke Jalan Law Yew Swee, Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang, Kuala Lumpur ke MaTiC (pintu hadapan).
Pihak DBKL akan menutup laluan Jalan P. Ramlee bagi tujuan pemasangan pentas, raptai dan hari acara seperti berikut :
1) Penutupan Jalan P. Ramlee pada 22 Mei 2014 (Khamis) mulai jam 11.00 malam hingga 6.00 pagi 23 Mei 2014 (Jumaat)
2) Penutupan Jalan Law Yew Swee, Jalan P. Ramlee, sebahagian Jalan Ampang bagi raptai pada 23 Mei 2014 (Jumaat) bermula jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi pada 24 Mei 2014 (Sabtu)
3) Penutupan Jalan Law Yew Swee, Jalan P. Ramlee, sebahagian Jalan Ampang bagi tujuan perarakan Citrawarna Kuala Lumpur mulai jam 7.00 malam pada 24 Mei 2014 (Sabtu) hingga 6.00 pagi pada 25 Mei 2014 (Ahad).
Pemilihan Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran program pula adalah berdasarkan kepada lokasi Menara Berkembar Petronas sebagai ikon pelancongan Kuala Lumpur dan juga negara. Lokasi tersebut juga merupakan tumpuan pengunjung khususnya pelancong asing kerana lokasi yang strategik dengan hotel-hotel berdekatan dan pusat membeli-belah terkemuka dunia.
Selain itu, pemilihan Jalan Law Yew Swee, Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang juga adalah berdasarkan kemudahan dan infrastruktur lengkap dan ekonomikal dalam konteks penganjuran acara kerana berdekatan dengan MaTiC.
Lebih daripada 600 orang peserta daripada pelbagai agensi akan mengambil bahagian dan membuat persembahan sempena acara Citrawarna Kuala Lumpur 2014. Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama menyaksikan kemeriahan acara serta meraikan keunikan budaya dan warisan Kuala Lumpur.