Anda merupakan peminat kisah bersiri Dr. Jekyll and Mr. Hyde? Manusia yang mempunyai dua personaliti berbeza. Siri televisyen yang bersiaran sejak 17 Mei lalu, ntv7 membawakan drama bersiri Hollywood menarik, Do No Harm setiap hari Sabtu, jam 1.00 pagi yang diadaptasi daripada karya klasik, Strange Case of Dr. Jekyll and Mr. Hyde. Diilhamkan oleh Penerbit Eksekutifnya, David Schulner – Do No Harm dibintangi Steven Pasquale, Alana De La Garza, Michael Esper, Ruta Gedmintas dan ramai lagi.
Siri televisyen ini mengisahkan kecelaruan dua personaliti dalam sebuah tubuh badan milik seorang doktor. Berkelakuan baik di siang hari dan sebaliknya di waktu malam merupakan personaliti Dr. Jason Cole (Steven Pasquale) seorang pakar saraf terkenal yang memiliki sebuah rahsia misteri. Pada setiap jam 8.25 malam dan bertahan selama 12 jam, Dr. Cole akan berubah kepada seorang yang bersifat kejam dengan nama Ian Price. Selama ini, Cole berjaya menyembunyikan sifat alter-egonya dengan sebuah suntikan namun pada suatu malam dia menyedari tubuhnya mula imun kepada ubat ciptaannya.
Bersiaran selama 13 episod, penonton pastinya akan terus melekap di kaca TV kerana penceritaannya yang akan membuatkan penonton ternanti-nanti tentang apakah yang berlaku seterusnya. Lebih menarik apabila transisi kupasan kisah hidup Dr.Cole dan Ian Price yang masing-masing memiliki misterinya yang tersendiri.
Cole merupakan seorang doktor yang berdedikasi dan sentiasa cuba membantu para pesakit dan orang sekelilingnya manakala Ian seorang yang liar serta terlibat dengan sisi gelap dan jenayah termasuklah pengedaran dadah. Perbezaan prinsip hidup mereka menyebabkan mereka berdendam di antara satu sama lain dan mereka hanya berhubung menerusi rakaman video telefon yang ditinggalkan untuk satu sama lain. Bukan sahaja kehidupan profesional Dr.Cole diancam Ian Price, malah kehidupan peribadi Dr. Cole juga menjadi pertaruhan. Di antara Cole dan Ian, kedua-duanya juga tidak lari daripada perasaan cinta dan dua orang wanita di sisi mereka bakal dipenuhi tanda tanya.
Mampukah Dr. Cole menguasai dirinya semula dan menghapuskan Ian? Apakah sebenarnya rahsia besar oleh kedua-dua perwatakan ini? Saksikan siri terbaru, Do No Harm bersiaran mulai 17 Mei, setiap hari Sabtu, jam 1.00 pagi di Saluran Ceria Anda, ntv7 (Saluran 107).
Untuk maklumat lanjut layari www.ntv7.com.my dan laman sosial rasmi ntv7.