Dyana Sofya yang merupakan calon DAP Teluk Intan menjelaskan beliau tidak akan menyokong pelaksanaan hudud di negara ini dan akan tetap berpegang dengan pendirian partinya yang menentang pelaksanaan undang-undang Islam tersebut. Walaubagaimanapun, dalam satu temu bual dengan sebuah portal berita beliau menafikan menentang hukum tersebut.
“Saya tidak menentang hudud tetapi saya menentang pelaksanaan hudud pada situasi ketika di mana kita mengamalkan pendakwaan terpilih dan juga kerana kita sedang berada di dalam negara pelbagai kaum, agama dan kepercayaan,” katanya.
PAS sebelum ini berhasrat membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) di Dewan Rakyat pada Jun ini bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 dilaksanakan di Kelantan. Bagaimanapun hasrat itu ditangguh bagi membolehkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan seperti yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi pemahaman kepada semua pihak tentang hudud.
Hudud mendapat tentangan dari beberapa pihak terutama sekali DAP dan juga parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA. Walaupun mendapat tentangan hebat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri akan membawa satu rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dilaksanakan di negeri itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat untuk membolehkan hudud tetap dilaksanakan di Kelantan.
Sumber: Astro Awani