Laporan daripada Astro Awani, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan dua orang anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Menurut Malaysiakini, Nurul Izzah membuat permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah semalam, Hakim Amran Mat Zain menetapkan 17 Jun untuk Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim melantik secara rasmi peguam untuk mewakilinya biarpun peguamnya, Azmi Rais hadir di mahkamah bagi pihaknya.
Azmi yang hadir di mahkamah bersama dengan Zulkifli Che Yong sebagai peguam, memberitahu bahawa anak guamnya kini berada di London dan tidak dapat melantik mereka secara rasmi.
Difahamkan, permohonan mendapatkan hak penjagaan dua anaknya merupakan tambahan kepada permohonan Nurul Izzah untuk bercerai dengan suaminya.
Kes penceraian mereka sedang dikendalikan oleh jawatankuasa perdamaian, sebuah panel bebas yang terdiri daripada wakil saudara masa pasangan itu dan seorang pegawai syariah. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh pegawai syariah itu sepatutnya mengemukakan laporan kepada Mahkamah Rendah Syariah, di mana permohonan Nurul Izzah untuk bercerai dibuat, sama ada mungkin ada jalan perdamaian atau sebaliknya.
Awal Januari lepas, Nurul Izzah yang merupakan anak sulung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.
Rentetan Isu Penceraian Secara Fasakh : Kenyataan Dari YB Nurul Izzah
[ TERKINI ] YB Nurul Izzah Anwar Minta Cerai Secara Fasakh?
Sumber : Astro Awani, mnynewshub, Malaysiakini