Kalau pergi ke Pulau Pinang pasti ramai yang pernah singgah ke tempat makan paling famous di sana, Nasi Kandar Line Clear. Difahamkan Nasi Kandar Line Clear bakal ditutup, betulkah?
Berdasarkan laporan MyNewsHub & Themalaysianinsider.com, itulah yang disebut dalam kenyataan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Ia bakal ditutup difahamkan bukanlah kerana isu kebersihan atau sebagainya tetapi kerana isu lesen.
Isu lesen itu pula bukan kerana mereka tidak dilesenkan tetapi ia timbul kerana pertelingkahan dalam kalangan empat anggota keluarga pemilik perniagaan itu yang sebelum ini telah membuat perjanjian untuk bergilir-gilir menguruskannya. Sehingga kini restoran itu dikendalikan oleh Abdul Hamid Seeni Pakir, tetapi ahli keluarganya hanya membenarkan beliau mengendalikannya sehingga 2011 sahaja.
“Kami akan berbincang dengan pihak yang berkepentingan dalam masa dua minggu ini. Jika gagal, kami terpaksa mengambil tindakan supaya perjalanan perniagaan itu berjalan mematuhi undang-undang.
“Kami akan mengambil alih premis itu dengan mengosongkannya untuk menyusun semula premis perniagaan sejajar dengan peratuan MPPP,” kata Pengarah Perlesenan Azman Sirun.
Sejarah restoran Line Clear sudah bermula kira-kira separuh abad yang lalu. Menurut Hamid pula, perniagaan Line Clear diasaskan oleh Allahyarham bapanya S.N Seeni Pakir yang datang dari India. Ketika bapanya kembali ke India, restoran itu dikendalikan oleh pakciknya kerana beliau dan adik-beradiknya masih kecil pada ketika itu.
Keputusan untuk membenarkan ahli keluarga bergilir-gilir mengendalikan perniagaan itu dibuat ketika bapanya tidak berada di Malaysia, apabila beliau pulang, sistem itu tidak dipersetujui. Sehinggalah ayahnya meninggal dunia pada tahun 1971, sistem itu gagal dihentikan dan terus digunakan.