Pasti anda ada terbaca berita majlis perkahwinan sepasang pengantin beragama Hindu di Petaling Jaya telah diserbu oleh beberapa pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 1 Jun 2014 lalu. Kenapa JAIS menyerbu perkahwinan pasangan Hindu tersebut?
Difahamkan sejak tujuh tahun lalu, Zarina Abdul Majid (pengantin wanita) berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuang perkataan “Islam” di kad pengenalannya kerana beliau tidak mengamalkan kepercayaan agama itu. Malah, sudah membelanjakan beribu ringgit membayar peguam tetapi semuanya tidak berhasil. Zarina akhirnya membuat keputusan tegas untuk berkahwin dengan lelaki dicintainya, seorang penganut Hindu di sebuah kuil.
“Walaupun nama saya nama Islam, saya mengamalkan kepercayaan Hindu. Saya juga mengikut adat dan budayanya. Saya sudah membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk yuran guaman tetapi tiada apa yang berubah. Di atas kertas, kami masih Islam.”
Zarina menegaskan beliau tahu siapa yang memberitahu pihak berkuasa tentang perkahwinannya tetapi menganggapnya sebagai satu ‘rahmat’. Walaupun perkahwinannya terpaksa dibatalkan, dia tetap menganggap kejadian ini sebagai satu rahmat.
“Selama ini saya melawan dalam pertempuran yang saya akan kalah untuk hak saya dan tiada siapa yang tahu. Saya harap keadilan akan berlaku sekarang kerana masalah saya sudah diketahui umum,” tambahnya lagi.
Terdahulu, majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat dan budaya agama Hindu tergendala apabila diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pagi 1 Jun 2014. Tindakan itu dilakukan kerana pengantin wanita terbabit, Zarina didakwa merupakan seorang wanita beragama Islam.
Terbaru, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersedia membantu pengantin wanita Hindu yang didaftarkan sebagai Islam menyelesaikan status agamanya.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) selepas mendengar penerangan daripada pegawai JAIS. “Dia boleh membuat pertukaran kalau dapat selesaikan nama baru yang beliau ingini. MMKN kesal dengan kejadian yang berlaku dan mengarahkan JAIS meneliti kes-kes yang melibatkan orang bukan Islam agar insiden seperti itu tidak berulang,” kata Abdul Khalid.
Sumber: themalaysianinsider.com, yahoo.com, hmetro.com.my, malaysianreview.com