Selepas kejayaan penganjurannya selama dua tahun berturut-turut, acara tahunan Art of Speed Asia 2014 telah diadakan pada skala lebih besar tahun ini dengan penyertaan lebih ramai penggiat dari serata dunia dan turut menerima sokongan kuat Kementerian Pelancongan Malaysia.
Acara ini dikelolakan oleh Switchblade Kuala Lumpur, sebuah butik rock n’ roll dan peminat tegar Kustom Kulture. Sejak pembukaannya pada tahun 2009, SwitchbladeKL mempromosikan sub budaya So-Cal dan kini tampil aktif dengan pendedahan kenderaan vintaj seperti hot rod, chopper, kereta buatan Amerika dan juga kereta retro Jepun, kereta klasik, seni dan muzik.
Art of Speed adalah acara Kustom Kulture yang pertama di Malaysia dan telah berkembang melalui beberapa siri acara dan juga lawatan promosi ke negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan juga Jepun.
Art of Speed Asia 2014 adalah satu langkah seterusnya selepas berjaya dengan acara Art of Speed Malaysia. Selepas dua tahun peringkat awal memperkenalkan dan memperjuangkan senario tempatan, acara ini kembali lagi di Citta Mall pada 7 dan 8 Jun dan kali ini tampil dengan penyertaan antarabangsa yang pelbagai. Seramai 80,000 pengunjung telah membanjiri kompleks beli-belah ini daripada Malaysia, Japan, Taiwan, Singapore, Thailand, Indonesia, Brunei, Hong Kong dan Sepanyol.
Acara ini masih lagi mengekalkan slogan yang sama “Meraikan Seni Dalam Budaya Automotif” yang mengetengahkan pelbagai pameran berkaitan seni, gaya hidup dan kenderaan binaan khas (kustom) tetapi dengan perkaitan yang lebih kepada negara-negara serantau.
Art of Speed Asia 2014 juga menjadi platform serantau bagi peminat seluruh rantau ini untuk mengumpul dan bertemu ikon-ikon dari luar Asia Tenggara. Ia juga bertujuan untuk memberi inspirasi dan memasarkan produk kreatif tempatan ke pasaran antarabangsa. Tahun ini, acara ini disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia, yang juga telah mengiktiraf pertumbuhan sihat para pengunjung dan peminat seni binaan khas dari negara-negara jiran serantau.
Antara ikon antarabangsa dalam industri ini yang telah hadir adalah Mooneyes Japan, Rocky Auto Japan, Flat 4 Tokyo, Kutsom Kulture Produktion Japan, Speedhunters.com, Rough Crafts Taiwan dan Air Runner Custom Paint Studio dari Taiwan.
Tahun ini menyaksikan persembahan pentas dan galeri seni yang diuruskan oleh Bone Alfie dan District Shop-Gallery dengan artis tempatan dan antarabangsa, aktiviti kanak-kanak dan keluarga, pertandingan “Show and Shine”, Soapbox Show and GO!, arena zon anak muda dan juga jualan bazaar. Astro Awani juga telah melancarkan musim kelima rancangan automotif mereka yang bertajuk InGear di acara ini.
Antara tarikan lain di acara ini adalah pameran barangan vintaj dan seluar jeans oleh Pintu Merah dan Tempatan Fest yang mempromosikan lebih daripada 150 jenama tempatan.
Hatish Mayer dan Ali Garerro Classic telah memenangi Best of Show dalam pertandingan Show and Shine di dalam kategori kereta dan motosikal. Mereka akan bercuti dan hadir ke Mooneyes Yokohama Hotrod and Custom Show pada Disember ini yang dikatakan acara kustom kulture yang paling hebat di dunia.
Maklumat selanjutnya boleh didapati di laman web ini www.artofspeedmy.com