Buah kurma atau dikenali juga sebagai buah tamar selalunya diimport daripada negara timur tengah dan dikatakan merupakan makanan harian penduduk di sana. Malah , untuk umat Islam, kurma juga dikenali sebagai makanan sunnah. Namun, di Malaysia buah dengan nama saintifik Phoenix dactylifera ini selalunya akan lebih popular ketika bulan Ramadhan sahaja.
Mengejutkan, pokok kurma yang selalunya tumbuh subur di negara bercuaca panas dan kering ini dilaporkan telah berbuah lebat di negeri Kelantan. Menurut laporan Sinar Harian Online, pokok kurma tersebut didapati kurang 500 meter daripada lokasi Universiti Teknologi MARA Kampus Kota Bharu.selain itu, Setiausaha Majlis Daerah Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, kewujudan 37 pokok kurma yang ditanam Unit Landskap MPKB-BRI itu bertujuan mengindahkan bandar ini selari dengan gelaran bandar raya Islam.
Pokok kurma tersebut telah ditanam di Bulatan Jam Besar dan mula berbuah tahun lalu tapi nampaknya telah berbuah dengan lebih lebat pada tahun ini. Setakat ini, daripada 37 pokok tersebut, hanya 10 yang sudah berbuah dan hasilnya sduah boleh dipetik penghujung Ramadhan ini. Pihak Majlis Daerah Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) juga mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk melihat fenomena tersebut secara dekat dan tidak melarang orang ramai untuk menikmati buah yang gugur namun melarang mereka memetiknya. Pihak MPKB-BRI juga mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memastikan pohon-pohon tersebut terjaga dengan baik.
Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan fenomena musim bunga di utara semenanjung, kini nampaknya satu lagi fenomena menarik telah muncul. Cuaca El-nino yang melanda negara juga barangkali menjadi faktor pohon tamar ini berbuah lebat, mungkin . Agaknya sama tak rasanya buah tamar dari Kelantan ni dibandingkan dari timur tengah yang kita basa nikmati.