Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dengan kerjasama GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK Consumer Healthcare) telah melancarkan kempen ‘Mulut Anda Layak Menerima Penjagaan Khusus’. Kempen ini bertujuan membantu rakyat Malaysia agar lebih memahami dan menjaga keperluan penjagaan kesihatan oral khusus mereka seperti gigi sensitif, gusi berdarah dan penggunaan gigi palsu. Kempen ini juga bertujuan menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan oral di kalangan warga Malaysia dalam jangka masa lebih lama.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Dr. Khairiyah Abdul Muttalib, Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah melancarkan Klinik Pergigian Bergerak bagi kempen tersebut. Klinik Pergigian Bergerak tersebut akan mengadakan 20 sesi di lokasi-lokasi penting di seluruh negara bagi menyediakan pemeriksaan gigi untuk lebih daripada 5,000 warga Malaysia. Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesan masalah kesihatan pergigian seperti penyakit gusi dan karies. Pada masa yang sama, satu kempen perhubungan digital akan menyampaikan maklumat kesedaran kesihatan oral kepada 200,000 warga Malaysia.
Penyelidikan yang dilaksanakan oleh pihak GSK Consumer Healthcare menunjukkan bahawa di kalangan rakyat Malaysia, satu pertiga mengalami masalah gigi sensitif, dan dari kalangan ini, 66% tidak menangani masalah mereka. Di samping itu, terdapat 3 juta pengguna gigi palsu, yang mana di kalangan mereka 87% tidak menggunakan produk penjagaan gigi palsu khusus. Masalah seperti ini mengehadkan gaya hidup sosial mereka – mengakibatkan mereka menjauhkan diri daripada makanan dan minuman yang terpilih ataupun menjejaskan keyakinan mereka semasa bersosial. Tambahan pula, 94%[1] warga Malaysia mengalami masalah periodontal seperti gusi berdarah dan sebilangan besar – 91% daripada mereka tidak merawat keadaan ini.
Di penghujung kempen ini dalam bulan Julai, MDA dan GSK Consumer Healthcare berharap dapat menyampaikan mesej kempen kepada lebih ramai warga Malaysia dan meningkatkan kesedaran bahawa setiap mulut adalah unik dan layak menerima penjagaan khusus agar mereka dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Untuk melihat jadual bagi Klinik Gigi Bergerak atau untuk maklumat lanjut mengenai kempen, sila layari listentoyourmouth.gsk.com.my mulai 16 Jun 2014.