Baru-baru ini berita seorang kanak-kanak OKU ditemui dikurung dalam keadaan menyayat hati menjadi perbualan ramai malah ibu kepada remaja tersebut dikiritik hebat di media sosial.
Menurut laporan Sinar Harian Online dan The Star Online , remaja tersebut telah ditemui di Taman Semarak, Nilai pagi 21 Jun lepas (Sabtu) oleh pasukan imigresen yang sedang menjalankan pemeriksaan .
Muhammad Firdaus Dullah, remaja OKU yang berusia 15 tahun itu juga ditemui dalam keadaan badannya yang terlalu kurus dan kelihatan seperti mayat hidup, dipercayai akibat kekurangan zat makanan dalam bilik yang penuh dengan sampah, najis dan tanah. Malah baju yang dipakai mangsa juga didapati sudah mereput akibat terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri sepanjang berada di situ.
Berdasarkan satu gambar yang dimuatnaik di akaun Facebook yang didakwa sebagai akaun Facebook milik ibu remaja berkenaan, remaja tersebut kelihatan lebih sihat dan terjaga . Gambar tersebut telah dimuatnaik pada 12 September 2013.
Memetik laporan Harian Metro Online pula , ibu kepada remaja tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Lola bagaimanapun menyatakan kesedihannya kerana dituduh tidak tahu menjaga anak.
“Semua orang salahkan saya dan tuding jari ke arah saya menuduh saya tidak tahu menjaga anak dengan baik, tetapi mereka tidak tahu kesempitan hidup dan kesengsaraan yang saya alami.Saya sayangkan anak saya tetapi saya perlu bekerja dan menyara kehidupan dia, saya dan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun.
“Apabila orang lihat keadaan dia, semua orang salahkan saya, tetapi adakah mereka mahu menjaganya sepanjang ketiadaan saya di rumah. Tiada siapa yang sanggup menjaganya kerana dia cacat,”
Ibu berusia 40 tahun itu juga menafikan dia tidak memberikan makanan kepada anaknya sebaliknya ada meninggalkan makanan di dalam bekas polisterin sebelum pergi bekerja.
“Saya tidak pernah mendaftar anak saya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu caranya dan terpaksa meninggalkannya sendirian kerana bekerja mencari wang,
“Bukan saya tidak sayangkan dia, sebab saya sayangkan dia saya membuat keputusan itu. Saya fikir apa akan jadi pada Muhammad Firdaus jika saya mati nanti. Ajal maut di tangan Allah SWT, saya tidak tahu jadi saya perlu bersedia,”
Bagaimanapun , ibu kepada remaja tersebut kini sedang ditahan reman untuk siasatan lanjut. Remaja tersebut kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan laporan kesihatan yang dikeluarkan menunjukan keadaan kesihatannya tidak membimbangkan . (sumber) .
Kami mungkin tidak berada di tempat ibu remaja malang ini , namun alasan yang diberikannya agak tidak munasabah terutama dengan banyaknya kemudahan pada zaman sekarang. Berdasarkan pemerhatian kami di akaun Facebook bernama Imashima Lola (dipercayai akaun Facebook milik ibu remaja OKU berkenan) , beliau adalah orang yang aktif menggunakan Facebook dan secara tidak langsung juga menunjukkan yang dia adalah golongan yang celik IT.
Tambah menaikkan kemarahan masyarakat apabila gambar-gambar yang dimuatnaik antaranya gambar selfie dengan pakaian yang langsung tidak menampakkan “kesempitan hidup’ yang didakwanya.