Bakal pengantin, Collette Moreno, 26 maut selepas berkongsi gambar ‘selfie’ semasa dalam perjalanan ke sebuah majlis bachelorette party untuk dirinya di Amerika Syarikat. Wanita berkenaan yang duduk di tempat duduk penumpang maut dalam insiden itu apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan kenderaan lain ketika pemandu cuba memotong sebuah lori.
Menurut laporan sebuah portal, kereta yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan. Pemandu kereta tersebut, Ashley Theobald merupakan sahabat baik kepada mangsa. Ketika insiden itu, mereka dalam perjalanan ke Tasik Ozarks di Missouri dan memakai tali pinggang keledar.
Theobald, 26, berkata, dia cuba untuk memintas lori yang mengeluarkan banyak asap semasa kejadian. Moreno merupakan penghidap asma dan asap menyebabkan dia batuk.
“Saya cuba untuk memintas dan sebuah lagi lori datang dari arah depan,” ujar Theobald.
Lapan minit sebelum kejadian, Moreno mengambil gambar ‘selfie’ bersama Theobald, yang menunjukkan mereka sedang menikmati perjalanan tersebut. Peronda Lebuhraya Missouri berkata, Theobald boleh didakwa atas pemanduan cuai.
Difahamkan, Moreno akan berkahwin dengan tunangnya, Jesse Arcobasso di destinasi impian mereka di Jamaica pada 26 Julai depan.
Sinar Harian, The Huffington Post, Nydailynews