Kadang-kala bila melihat nama bahan mentah yang digunakan di belakang produk yang kita inginkan memang mengelirukan. Bingung memikirkan apakah bahan dengan nama saintifik tersebut. Tahukah anda rupa-rupanya banyak bahan dengan nama saintifik tersebut sebenarnya hanyalah bahan atau barang yang ada di sekeliling dan sering kita lihat.
Bahan seperti biji kopi, arang dan bunga matahari merupakan antara bahan yang sebenarnya sering dijadikan ramuan dalam produk kecantikan oleh jenama besar. Boleh dikatakan selain mudah didapati, ia mempunyai banyak khasiat yang boleh membantu dalam penjagaan kulit wajah dan badan.
Arang
Mesti ada yang pelik bila ada yang berkata boleh menggunakan arang untuk kecantikan. Namun kini ia menjadi satu kebiasaan dalam pembuatan produk penjagaan diri.
Unsur yang ada dalam arang dapat mengeluarkan kotoran seperti minyak dan benda asing di dasar kulit. Ia juga menyingkirkan bakteria dan toksin lantas membuatkan ia sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kulit berjerawat.
Bukan itu sahaja, arang berkesan untuk rawatan pemutihan gigi. Jika anda merasa gigi anda kurang bersinar dan berwarna kekuningan, jangan bazirkan duit untuk berjumpa pakar gigi. Sebaliknya, hancurkan tablet arang, letakkan ubat gigi di berus gigi anda dan celupkan berus gigi yang mengandungi ubat gigi tersebut dalam serbuk arang itu tadi. Pada mulanya, anda pasti terkejut melihat mulut anda yang kehitaman, namun setelah dicuci, anda pasti akan dapat melihat perbezaannya.
Arang biasa digunakan dalam sabun buku, topeng kosmetik, pembersih muka dan syampu antikelemumur.
Biji Kopi
Kandungan kafein dalam biji kopi boleh menyegarkan kulit muka manusia sama seperti ia menyegarkan tubuh badan apabila meminumnya.
Kafein mengecutkan saluran darah dan membuatkan peredaran darah di bahagian muka lebih laju dan lancar. Selain itu, ia juga mengecutkan sel lemak dan mengurangkan kesembapan muka.
Bukan itu sahaja, kopi juga dikatakan bagus untuk menghilangkan bau kaki hapak. Bungkus kopi dalam kain bersih. Masukkan dalam kasut semalaman. Sukatannya pula tidak terlalu banyak dan terlalu sedikit. Anda juga boleh rendamkan kaki dengan kopi yang direndam tanpa dicampurkan gula. Ini akan membantu neutralkan semula bau kaki anda.
Kopi selalu digunakan dalam bahan sental muka, krim mata, pelembap dan bahan rawatan antiselulit.
Bunga Matahari
Bunga besar sangat popular pada awal 90-an dan sekali gus mula dikaji saintis untuk tujuan perubatan dan kecantikan. Bijinya penuh dengan antioksidan dan vitamin E yang memulihkan cela, luka kecil dan kesan terbakar pada kulit muka.
Minyak bunga matahari mempunyai keupayaan hidrasi dan menyihatkan struktur rambut. Selain itu, vitamin D3 dalam bunga ini bersifat melawan kulit muka daripada terbakar akibat panahan cahaya matahari.
Produk rawatan rambut, serum dan pelembap bibir antara yang menggunakan khasiat bunga matahari.