Walaupun dalam keghairahan membedil ratusan roket ke Gaza, Israel dilaporkan ketakutan susulan peningkatan kempen boikot produk keluaran Malaysia. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menganggap kempen boikot itu adalah masalah terbesar jika ia benar-benar dilaksanakan.
“Jika negara di seluruh dunia setuju memboikot produk Israel maka ekonomi negara itu berada dalam bahaya,” jelasnya.
Februari lalu, ancaman boikot itu disuarakan Menteri Luar Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry ketika menjadi perantaraan rundingan damai Israel dan Palestin. Amerika Syarikat mengancam untuk memboikot segala produk Israel jika segala rundingan damai antara Israel dan Palestin gagal.
Sehari kemudian, Kesatuan Eropah (EU) menyatakan pendirian sama terhadap Israel. Dilaporkan juga, Menteri Kewangan Israel, Yair Lapid, beberapa kali mengingatkan jika kempen boikot itu menjadi realiti terutama dari EU maka mereka akan terputus hubungan dagang terbesar di negara itu.
Israel kemungkinan akan mengalami penurunan nilai eksport ke negara EU sehingga AS$5.7 juta (RM18 juta) dan 9,800 penduduknya akan hilang pekerjaan. Bagaimanapun, Menteri Strategi Israel, Yuval Steinitz berpendapat, ancaman AS dan EU itu bersifat tidak adil dan serius.
“Israel tidak dapat berunding mengenai ancaman itu jika pistol sudah diarahkan ke kepala kami. Ini satu ugutan,” katanya dipetik Jpost
Namun, beliau kemudiannya mengeluarkan kenyataan sinis apabila menyatakan kedua-dua negara itu tidak perlu menipu diri sendiri.
“Kita seharusnya tidak menipu diri sendiri. Dunia sedang memerhati AS dalam rundingan damai ini. Kita harus akui jika rundingan dengan Palestin gagal, dunia akan percaya bahawa kita yang bertanggung jawab dan akan ada harga yang harus dibayar,” katanya.
Malah, menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan memboikot barangan yang dikaitkan dengan Israel hanya memberikan kesan jika ia dibuat secara besar-besaran melibatkan masyarakat dunia. Katanya tindakan memboikot melibatkan kelompok yang kecil tidak mendatangkan hasil kecuali ia dibuat secara menyeluruh yang membabitkan seluruh dunia.
“Saya menyokong usaha-usaha memboikot barangan Israel supaya dapat ditingkatkan ke seluruh dunia”, katanya.
Terkini, angka kematian meningkat kepada anggaran 154 orang (tiada rakyat Israel yang dilaporkan terbunuh) sejak konflik tercetus pada Selasa lalu.
Bernama, mnynewshub, Sinar Harian