Heboh di laman sosial Twitter dan Facebook apabila pihak polis negara Singapura mengarahkan seorang warga republik itu untuk menurunkan bendera Palestin yang digantung di luar kediamannya pada Isnin.
Ramai yang mempersoalkan kenapa pihak polis cepat bertindak dalam kes bendera Palestin tetapi bersikap bersikap seperti pejam sebelah mata kepada warga asing yang mengibarkan bendera China atau Filipina di republik itu.
Astro Awani melaporkan laman Facebook Outstanding SG memuatnaik foto bendera Palestin yang dikibarkan di luar sebuah flat di republik itu. Laman web berita Channel News Asia melaporkan kejadian berlaku pada pagi Isnin di Tingkat 11, Blok 54, Sims Drive. Sejak foto berkenaan dipaparkan di Facebook pada Isnin malam, ia dikongsikan oleh lebih 900 pengguna jaringan media sosial itu.
Lelaki berkenaan menurunkan bendera Palestin “selepas dinasihatkan oleh polis”. Bendera itu sempat berkibar selama lebih kurang dua jam, lapor laman web itu lagi. “Bendera itu diturunkan secara sukarela. Polis sedang menyiasat perkara ini,” kata jurucakap polis.
Perbualan mengenai bendera Palestin yang diturunkan itu menyusul perbualan sama mengenai pendirian Singapura selepas dalam kenyataannya minggu lalu menyuarakan meminta pejuang Palestin menghentikan serangan roket ke atas Israel.
Difahamkan di bawah undang-undang Singapura adalah satu kesalahan untuk mengibarkan bendera negara lain di khalayak ramai selain daripada bendera republik itu. Kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga S$500 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.