Alfatihah! Laporan berita daripada Sinar Harian, semalam seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) meninggal dunia ketika sedang bertadarus al-Quran.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.35 pagi tadi apabila Ku Iqbal Ku Md Khir, 14, secara tiba-tiba rebah di sisi kawannya. Menurut Penolong Kanan Kokurikulum SMKAK, Johari Jaafar berkata, ia adalah kejadian pertama kali berlaku di sekolah itu. Sebelum kejadian, semua pelajar diarah mengikuti majlis tadarus al-Quran yang diadakan setiap pagi di surau.
“Ku Iqbal yang ketika itu sedang membaca ayat al-Quran kelihatan sedang menundukkan kepalanya secara perlahan-lahan sebelum rebah. Pemeriksaan awal doktor mengesahkan bahawa dia meninggal di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, sejurus kejadian itu, pihak sekolah segera menghubungi ambulans dan memaklumkan kepada ahli keluarganya kira-kira jam 8.00 pagi. Jenazah kemudian di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.