Malam tadi sekali lagi rakyat Malaysia menerima berita menyedihkan apabila sebuah pesawat milik Malaysia Airline dilaporkan terhempas dan didakwa akibat ditembak jatuh di sempadan Ukraine- Rusia. Namun, berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Keluarga dan rakan terdekat mangsa nahas kejadian ini tentunya lebih terluka daripada kita.Kami kongsikan mesej terakhir 4 penumpang termasuk juruterbang yang menjadi mangsa tragedi ini.
Cor Pan, Warga Belanda
Gambar yang dimuatnaik oleh salah seorang penumpang pesawat MH17 ini telah dikongsi oleh lebih 12000 pengguna Facebook.Seorang lelaki Belanda yang merupakan salah seorang daripada penumpang pesawat tersebut dengan akaun nama Cor Pan telah memuat naik gambar pesawat Boeing 777 dengan kapsyen ” Jika pesawat ini hilang, inilah rupanya”. Mungkin juga lelaki ini sekadar bergurau, namun nahas yang menimpa pesawat ini menyebabkan tindakan dia memuat naik gambar tersebut menjadi tanda tanya, seolahnya lelaki ini sudah tahu akan kejadian yang bakal menimpanya.
Wan Amran Wan Hussin , Juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 117
Juruterbang yang mengemudi pesawat MH17 ini dilaporkan telah menyatakan hasratnya untuk menunaikan haji bersama kakaknya pada musim haji bulan depan ketika pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama sanak saudaranya di Kota Lama ,Kiri, Kuala Kangsar , Perak minggu lepas.
Isteri kepada juruterbang ini juga memberitahu Harian Metro, sehari sebelum kejadian , suaminya sempat menghubunginya dan pesanan terakhirnya dalam perbualan telefon itu ialah ” See you tomorrow” ( Jumpa awak esok)
Md Ali Md Salim, Pelajar PhD di salah sebuah universiti di Amsterdam
Menurut laporan Astro Awani, seorang penumpang bernama Md Ali Md Salim, 30 tahun yang menaiki pesawat tersebut untuk pulang beraya di Muar, Johor sempat berbual melalui Facebook dengan abangnya . Dalam perbualan tersebut, Md Ali telah menyatakan hasrat untuk membeli seluar dan kasut untuk semua anggota keluarganya.
“Dia sempat bertanya kepada kami meminta saiz seluar dan kasut untuk dibelinya,” kata abang kepada Md Ali.
Ariza Ghazali , Bekas jurutera
Ibu kepada salah seorang penumpang nahas MH17 ini berkata anaknya yang tinggal di Kazakhstan ini kerana mengikut suami yang bekerja di Shell baru sahaja mendapat kebenaran untuk berpindah tempat kerja ke Kuala Lumpur. Malah, tambah memilukan hati, wanita ini juga dikatakan begitu ceria untuk menyambut Aidilfitri di tanah air dan sudah menempah baju warna sedondon putih. Bekas jurutera ini juga menaiki pesawat tersebut bersama suami dan empat anaknya.
Nurshazana , Pramugari MH17
Menurut bapa kepada pramugari ini, sehari sebelum kejadian Nurshazana ada menghantar kiriman Whatsapp dan meminta foto anak saudaranya kerana rindu. Shazana juga turut meminta dia dan isterinya menghantar salinan foto kad pengenalan mereka namun tidak memberitahu sebab dia berbuat demikian. Pramugari yang telah berkhidmat selama 9 tahun itu juga sempat menitip pesan supaya mereka sekeluarga menunggu kepulangannya pada hari raya pertama dan mahu menziarah kubur sana saudara dan membaca Yasin ketika menziarah nanti.