Cukup sedih dan tragis! Md Ali Md Salim berusia 30 tahun yang merupakan seorang penumpang pesawat MAS MH17 yang terhempas di sempadan antara Ukraine dan Rusia sempat memuat naik video terakhir dalam akaun laman sosial Instagram miliknya ketika berada di tempat duduk pesawat itu sebelum berlepas.
Dalam video dengan nama akaun @masa1777 berdurasi 15 saat itu dimuat naik kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Amsterdam dengan kapsyen: “Bismillah…#hatiadasikitgentar”.
Melalui video tersebut, dilihat beberapa penumpang serta seorang pramugari MAS sedang sibuk menyimpan barang-barang di ruang bagasi bagi bersdiap sedia untuk berlepas.
Menerusi Berita Harian, rakan Md Ali, Mohd Zaem Nordin, 24, yang berkongsi video itu dalam akaun Instagramnya tidak menyangka Md Ali berada dalam pesawat malang itu.
Difahamkan Md Ali sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi di sebuah universiti di Armsterdam, dijangka menamatkan pengajiannya tahun hadapan.
Dia yang kali terakhir berhubung dengan Md Ali pada 25 Jun lalu dalam laman sosial Facebook berkata:
“Kami sentiasa berhubung melalui Facebook dan kali terakhir itu beliau menyatakan hasrat kepada saya untuk pulang beraya bersama anggota keluarganya pada tahun ini.
“Saya tidak sangka hasratnya itu tidak kesampaian dan video itu adalah video terakhir beliau, ” katanya.
Mohd Zaem yang mengenali Md Ali sejak 2010 menyifatkan beliau seorang yang periang dan suka mengambil berat akan rakan-rakannya.