Sememangnya boleh dikatakan tidak sopan untuk seorang perempuan atau wanita bergurau senda sehingga bergelak sakan di khalayak ramai. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc mencetuskan kontroversi apabila mengatakan golongan wanita tidak sepatutnya ketawa kuat-kuat di khalayak ramai.
Beliau yang merupakan salah seorang pengasas Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang kini memerintah republik itu membuat komen tersebut semasa menyentuh tentang keruntuhan moral masyarakat moden.
“Lelaki sepatutnya berakhlak dan wanita juga mesti berakhlak. Mereka harus tahu apa yang bermaruah dan apa yang tidak. Wanita tidak patut ketawa kuat di tengah-tengah orang ramai dan patut memelihara maruahnya pada sepanjang masa,” katanya.
Kenyataan itu memancing kemarahan golongan wanita Turki yang mengutuk timbalan perdana menteri itu melalui media sosial. Mereka meletak foto yang menunjukkan mereka gelak besar dengan hashtag #kahkaha yang kemudiannya viral.
Arinc juga menyelar keruntuhan akhlak yang menyebabkan masyarakat terjebak dengan dadah dan pelacuran. Laporan media di Turki menyebut beliau juga mengecam program drama televisyen Turki yang menggalakkan cara hidup yang tidak bermoral. Beliau juga menyebut tentang ketagihan dadah jenis sintetik yang kini jadi antara gejala sosial yang serius.
“Kita harus kembali kepada al-Quran. Akhlak kita sudah mundur ke belakang. Kita sudah jadi masyarakat yang berbeza,” kata Arinc.
Beliau juga menyentuh tentang penggunaan telefon yang berleluasa di kalangan wanita yang menggunakannya untuk bersembang yang bukan-bukan misalnya “bertukar-tukar resipi masakan.”
Astro Awani, mynewshub, mirror.co.uk