Kisah selebriti mengusahakan perniagaan sendiri bukan lagi satu perkara baru yang kita dengar. Pelakon Fazura, Neelofa dan Scha Alyahya adalah antara selebriti yang telah memanfaatkan minat mereka terhadap fesyen ke dalam bidang perniagaan.
Kini pelakon kecil molek Elfira Loy juga telah mengikut jejak langkah yang sama.Aktres ini telah mula berniaga di atas talian dengan label Twinkle by Elfira. Memetik laporan Astro Gempak, Elfira pada mulanya hanya mencuba nasib dan cuba menjual skarf yang direka sendiri melalui Instagram. Beliau tidak menyangka bahawa rekaanya akan mendapat sambutan. Menurut Elfira, ada peminat dari Sarawak, Singapura dan Brunei yang menempah skarfnya.
Mendapat idea selepas melancong ke Thailand, Elfira menjadikan gaya , trend dan seni lukisan pelukis-pelukis di sana sebagai inspirasinya.Aksesori yang dilukis sendiri oleh pelakon berkening lebat ini adalah terhad dan eksklusif.
“Twinkle by Elfira ini sangat istimewa kerana corak yang dihasilkan adalah daripada idea saya.
“Secara jujurnya, saya sendiri yang terlibat dalam pemilihan fabrik kain dan corak yang akan dicetak… Saya sendiri yang bertungkus-lumus melukis dan kemudiannya meminta bantuan rakan untuk memilih warna yang bersesuaian.
Melalui pemerhatian kami sendiri di Instagram twinklebyelfira, rekaannya memang menarik dan menawan hati. Memang bukan satu yang mengejutkan kerana kita sedia maklum selera fesyen penyanyi berusia 20 tahun ini memang bukan calang-calanng. Tapi tak sangka Elfira berbakat dalam bidang seni lukis ni. Kami di Wanista berharap label Twinkle by Elfira ini akan terus sukses dan berkembang.