Kenapa memilih hotel bajet? Apa yang kita fahami ialah kebanyakan pelancong lebih memilih hotel bajet kerana kebanyakan masa dihabiskan dengan aktiviti luar. Sudah tentu hotel bajet adalah hanya tempat singgah untuk anda berehat sebelum sambung memulakan percutian.
Bukan itu sahaja, yang tidak baik tentang hotel bajet ialah persepsi masyarakat hotel bajet ditubuhkan untuk melakukan aktiviti tidak sihat. Namun, perlu diingatkan bahawa tidak semua hotel bajet ditubuhkan untuk perkara sedemikian, ada yang memberikan perkhidmatan baik, selesa dan sesuai dengan bajet pelancong yang gunakan hotel sebagai tempat untuk tidur dan beristirehat sahaja.
Menerusi entri kali ini, kami paparkan beberapa tip memilih hotel bajet yang boleh dipercayai, selamat, selesa, mempunyai kemudahan lengkap dan sebagainya.
1. Perhatikan lokasi hotel bajet tersebut. Pastikan hotel bajet yang dipilih tidak terletak di kawasan sunyi dan jauh dari deretan kedai. Adalah lebih baik memilih hotel bajet yang dekat dengan kedai serbaguna 24 jam seperti 7E, Speedmart dan sebagainya untuk memudahkan anda membeli barang keperluan. Dekat dengan kedai makan juga lebih bagus dan lebih mudah untuk anda mengisi perut sekiranya lapar tiba-tiba.
2. Semestinya perkhidmatan wifi adalah perlu untuk kemudahan anda melayari Internet sepanjang masa. Biarpun anda mempunyai data Internet sendiri, lebih baik gunakan wifi kerana lebih laju dan percuma!
3. Rajinkan diri mencari reviu tentang hotel bajet yang bakal anda singgah. Apa yang paling penting adalah saiz keluasan bilik, harga yang berbaloi, kemudahan lain dan sebagainya. Anda juga boleh mendapatkan ringkasan ini menerusi pengalaman rakan-rakan yang pernah menetap di hotel bajet tersebut atau membaca penerangan di Internet.