Masihkah anda ingat mengenai kes rompakan di sebuah cawangan bank di Subang Jaya yang telah mengakibatkan seorang pegawai bank terbunuh kerana ditembak oleh pengawal keselamatan?
Terkini, Sinar Harian melaporkan pengawal keselamatan warga Indonesia dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh kakitangan Ambank, Norazitta Abu Talib, 37, di Subang Jaya, tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Datuk Akhtar Tahir terhadap La Ode Ardi Rasila, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.
La Ode juga turut dijatuhi hukuman mati terhadap tuduhan kedua iaitu melakukan rompakan dengan menggunakan senjata api. Dalam ringkasan penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, tertuduh telah sengaja melepaskan tembakan ke arah mangsa untuk melakukan rompakan.
Berdasarkan keterangan pakar senjata api, tiga perkara yang perlu dilakukan sebelum melepaskan tembakan iaitu pam senjata, letak pin ke arah “fire”dan tekan picu.
“Dengan keterangan tersebut, saya tidak dapat menerima keterangan tertuduh dan tanpa sebarang keraguan menunjukkan bahawa tertuduh telah melepaskan tembakan secara sengaja dan penuh pengetahuan,” katanya.
“Pada pengamatan saya, tertuduh telah mengarahkan senjata ke arah mangsa sebelum menembak. Kalau dia hendak pam senjata tersebut untuk menarik perhatian, tertuduh boleh mengarahkan senjata ke arah lain,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, La Ode, dituduh membunuh Norazitta antara jam 6.00 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013. Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. Dia juga turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.