Desas-desus yang mengatakan kerajaan akan mengishtiharkan satu hari cuti umum sempena hari berkabung dalam memberi penghormatan kepada ketibaan jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 17 ke Malaysia nampaknya tidak benar.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan portal berita Sinar Harian Online, hari tersebut akan diisytiharkan sebagai Hari Berkabung dan sebuah istiadat penghormatan kepada 16 jenazah nahas MH17 tersebut akan diadakan pada hari tersebut. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumukan tarikhnya iaitu pada 22 Ogos 2014 ini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah , Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak , jemaah menteri, menteri besar ,ketua menteri serta keluarga mangsa nahas tersebut dijangka akan menghadiri upacara tersebut.
Upacara tersebut akan memperlihatkan setiap jenazah diusung pegawai istiadat dari Angkatan Tentera Malaysia dan dibawa menaiki 16 kereta jenazah dan diberi penghormatan mengikut agama masing-masing serta bertafakur. Kemudiannya beberapa jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman dan diiringi waris.
Sebelum ini , pihak MAS mengesahkan bahawa seramai 43 orang rakyat Malaysia telah terkorban dalam nahas tersebut (Sumber). Jadi, maknanya tidak semua jenazah yang terkorban akan dibawa pulang pada Jumaat minggu hadapan.
Ini kerana setakat ini hanya 24 jenazah warga Malaysia telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa Amsterdam selain terdapat dua permintaan dua jenazah untuk menjalani proses pembakaran di Belanda, . Usaha pencarian , forensik dan DNA masih lagi diteruskan dan negara masih akan membuat upacara penghormatan kepada jenazah yang dibawa pulang kemudian namun secara lebih ringkas.