Penyakit Ebola merupakan penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan primat seperti monyet.
Jemaah haji yang bakal ke tanah suci perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Ebola yang melanda beberapa negara di benua Afrika. Jemaah Haji perlu menjaga aspek kesihatan ketika menunaikan ibadah seperti sujud atas sejadah kecil yang dibawa sendiri ketika solat. Kerajaan Arab Saudi juga telah menjangka penyebaran virus ini pada musim haji dengan menghadkan jemaah dari tiga negara tersebut.
Selain itu juga, rakyat Malaysia dinasihat supaya mengelak daripada melakukan lawatan ke negara Afrika yang dilanda wabak Ebola, khususnya Sierra Leone, Republik Guinea dan Liberia. Kepada mereka yang terpaksa melakukan perjalanan ke negara-negara dilanda Ebola, adalah dinasihatkan supaya mengikut nasihat serta panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan mengurangkan risiko jangkitan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sehingga 4 Ogos, sejumlah 1,603 kes termasuk 887 kematian dilaporkan dari empat buah negara Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.
Sementara itu, laporan kononnya terdapat satu kes jangkitan Ebola di negara ini yang tersebar dalam laman sosial termasuk Facebook adalah tidak benar dan hanya khabar-khabar angin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
1. Ia dijangkiti oleh sejenis virus dipanggil Ebola yang dinamakan sempena nama sebuah sungai di Republik Congo di mana ia buat kali pertamanya dikesan dan dikenalpasti pada tahun 1976.
2. Ebola boleh berjangkit melalui darah, atau menyentuh barangan yang sudah tercemar dengan virus Ebola seperti jarum suntikan, atau bersentuh dengan haiwan yang dijangkiti biasanya melalui memakan dagingnya.
3. Pesakit Ebola akan mengalami demam, sakit kepala, sakit sendi dan sakit tekak yang kemudiannya disusuli dengan cirit-birit, muntah-muntah. Pada peringkat akhir penyakit Ebola, pesakit akan mengalami ruam-ruam dan pendarahan dalaman termasuk luaran.
4. Virus Ebola menyebabkan pesakit menjadi lemah, kekurangan air, lesu dan keliru.
5. Tanda-tanda Ebola yang paling jelas merupakan pendarahan di seluruh tubuh dan di dalam badan. Kematian biasanya berlaku dalam masa 7 sehingga 16 hari disebabkan oleh kejutan dan kehilangan darah yang serius.