Anda pernah membaca mengenai isu kerajaan Saudi yang dikatakan mahu merobohkan makan Rasulullah di media antarabangsa bukan? Tetapi sebenarnya berita itu tidak benar sama sekali. Kerajaan Arab Saudi menafikan akan memindah makam Nabi Muhammad SAW dan penafian berita dibuat oleh Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Mustofa bin Ibrahim Al-Mubarok kepada Menteri Agama Indonesia, Lukman Hakim pada satu pertemuan di Kementerian Agama di Jakarta.
“Duta Besar (Arab Saudi) menjelaskan berita itu sumbernya berasal dari (media) The Independent dan ia bukannya kenyataan rasmi pemerintah Arab Saudi. Itu (laporan berkenaan) tidak benar sama sekali,” kata Lukman kepada wartawan.
Lukman berkata, kerajaan Arab Saudi menyifatkan laporan berita tentang pemindahan makam Nabi Muhammad SAW itu sebagai fitnah yang bertujuan memecah belahkan umat Islam di seluruh dunia. Duta Besar Arab Saudi itu juga meminta umat Islam di seluruh dunia supaya tidak mudah terpengaruh dengan laporan berita yang tidak benar itu. Sebaliknya, kerajaan Arab Saudi mempunyai komitmen yang cukup besar untuk terus melindungi makam Rasulullah kekal di Masjid Nabawi
Lukman berharap agar masyarakat khasnya beragama Islam tidak terpancing dengan berita-berita palsu pemindahan makam Nabi kerana berita-berita seperti itu boleh jadi merupakan bentuk fitnah atau propaganda. Maklumat mengenai isu pemindahan makam Nabi itu pertama kali disiarkan oleh media Inggeris, The Independent. Media tersebut mengambil sumber media Arab Saudi dan media Arab Saudi menyifatkan mereka salah menterjemahkan Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris. Berita yang bersumberkan laman web The Independent itu mendakwa jasad Nabi Muhammad SAW akan dipindahkan ke tanah perkuburan al-Baqi yang terletak berhampiran Masjid Nabawi. Bagaimanapun, lokasi baharu makam Nabi Muhammad SAW tidak akan didedahkan dan tidak akan ditandakan.