Kami telah banyak menerbitkan artikel berkenaan “kuasa teknologi photoshop” tapi rasanya ini yang paling epik . Gadis bernama Zilla van den Born telah berjaya menipu keluarga dan rakan-rakannya yang dia sedang bercuti di Asia Tenggara selama lima hari walhal dia sebenarnya hanya berada di rumahnya di Amsterdam.
Seperti yang dilakukan oleh orang lain yang akan memuatnaik gambar sedang bercuti di laman sosial, Zilla juga melakukan hal yang sama, bezanya, dia sebenarnya tidak berada di lokasi sebenar, sebaliknya hanya mengedit gambar tersebut menggunakan teknologi photoshop.
Pelajar jurusan grafik ini telah dihantar oleh keluarganya sendiri di lapangan terbang untuk melancong ke negara -negara Asia Tenggara untuk memenuhi keperluan kursus pengajiannya. Namun apa yang berlaku sebenarnya adalah dia mengambil tren balik ke Amsterdam dan menghabiskan 42 hari di dalam rumah untuk mengedit gambar, bukannya melancong.
Melalui gambar yang dimuatnaik di Facebook , gadis ini, seolah-olah sedang menikmati aktiviti snorkeling, mencuba makanan autentik Asia, menaiki kenderaan tuk-tuk dan juga melawat tokong Buddha. Hakikatnya, apa yang dilakukan gadis ini adalah, bergambar di kolam renang, lokasi sekitar Amsterdam , dan mencuba makanan yang dimasaknya sendiri. Dia juga mencipta ilusi hotel di Thailand di dalam bilik tidurnya sendiri, menggunakan pokok Krismas lama dan payung untuk “menipu” ibubapanya ketika sesi Skype.
Rupanya perbuatan gadis ini punya objektifnya tersendiri. Tujuan dia berbuat demikian adalah untuk membuktikan betapa mudahnya untuk seseorang memutarbelitkan realiti sebenar . Misalnya, hakikat gambar model yang dimanipulasikan di iklan. Bagi kami sendiri pula, fenomenanya sama dengan apa sahaja yang dimuatnaik di laman sosial. Kadang-kadang semuanya nampak indah , gambar-gambar yang dimuatnaik rakan-rakan kita juga boleh membuatkan kita cemburu dan merasakan kehidupan mereka lebih baik daripada kita. Walhal, mungkin ia tidaklah seindah yang disangka, mungkin kita yang mengandaikan perkara tersebut secara berlebihan ataupun, seperti kes Zilla, kita sebenarnya telah “terpedaya” dengan apa yang mereka cuba gambarkan pada kita.
Untuk lebih “meletupkan otak” anda, tonton video di bawah untuk mengetahui bagaimana Zilla melancarkan misi geniusnya ini.
[ Sumber ]