Rasanya ramai mengetahui akan berita gedung beli-belah terkemuka, Ikea menarik balik produk buaian kanak-kanak Gunggung dari pasaran. Hal ini disebabkan pihaknya telah menerima laporan insiden yang menunjukkan kelengkapan gantung pada buaian Gunggung tidak memenuhi syarat kualiti dan boleh mendatangkan risiko kecederaan serius kepada kanak-kanak. Oleh itu, Ikea meminta mana-mana pelanggannya yang telah membeli produk buaian kanak-kanak Gunggung untuk segera mengembalikannya.
“Kami memperkembangkan produk untuk merangsang kreativiti dan keperluan semula jadi kanak-kanak untuk permainan fizikal. Kanak-kanak tidak memikirkan tentang keselamatan ketika bermain, jadi kami perlu melakukannya apabila kami membangunkan produk. Di Ikea, kami hanya menjual produk yang akan kami berikan kepada anak-anak kami sendiri. Walau bagaimanapun, kadang-kala, menerusi ujian yang mengikut standard dan peraturan yang ditetapkan, kesilapan masih boleh berlaku. Dengan ini kami menarik semula buaian Gunggung untuk mengelakkan sebarang insiden lanjut,” jelas Cindy Andersen, Pengurus Kawasan Perniagaan untuk produk kanak-kanak di Ikea.
“Kanak-kanak tidak memikirkan tentang keselamatan ketika bermain, jadi kami perlu melakukannya ketika membangunkan produk baharu. Kami sentiasa berusaha untuk menambah baik dalam aspek keselamatan. Kerana kanak-kanak tidak selalunya bermain permainan mengikut cara yang telah orang dewasa khaskan untuk mereka, kami juga meniru cara yang mungkin kanak-kanak lakukan untuk menggunakan sesuatu produk bagi membantu mengenal pasti risiko yang tidak dapat diramalkan,” terangnya lagi.
Tambahnya lagi, kesilapan masih boleh berlaku walaupun reka bentuk dan pemasangannya dibuat mengikut standard dan peraturan yang ditetapkan. Buaian gunggung telah dijual di Ikea Malaysia sejak 1 April 2014.
Buaian gunggung boleh dikembalikan ke gedung Ikea untuk bayaran balik penuh. Bukti pembelian (resit) tidak diperlukan untuk bayaran balik penuh. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Perhubungan Pelanggan IKEA di talian 603-7726 7777.