Tahniah buat penyanyi kelahiran program realiti TV Akademi Fantasia, Dafi kerana dilantik menjadi duta rasmi U Mobile. Bukan itu sahaja, album keduanya berjudul #D4F1 turut dilancarkan.
Menurut Jeanette Lee, Ketua Pemasaran Komunikasi dan Jenama U Mobile, Jeanette Lee menyifatkan personaliti dan pengaruh Dafi bertepatan dengan sasaran mereka untuk menarik perhatian golongan remaja dan yang baru memulakan pekerjaan.
“Dafi mewakili semangat U Mobile yakni kombinasi kualiti aspirasi, segar dan inspirasi. Kami optimis dengan pelantikan beliau dalam menarik kelompok pengguna baharu.
Dafi sendiri merasa cukup terharu dengan kesempatan yang diberikan U Mobile yang memilihnya sebagai duta syarikat berkenaan.
“Saya bersyukur terus diberi kepercayaan bergelar duta produk. Malah, hari ini kegembiraan saya berganda kerana dilantik sebagai duta U Mobile untuk tempoh setahun dan melancarkan album peribadi kedua serentak.
“Selepas menyertai dunia seni dan memiliki syarikat sendiri, Laugh Out Loud Entertainment sejak empat tahun lalu, saya perlu bijak mencuri peluang termasuk melebarkan sayap sebagai ahli perniagaan. Terima kasih U Mobile di atas peluang berharga ini,” katanya.