IKEA mengumumkan bahawa Katalog IKEA 2015 kini boleh didapati di Malaysia dan mengandungi 328 halaman yang penuh dengan idea dan penyelesaian kefungsian pada harga yang mampu dibeli. Katalog baharu ini menawarkan inspirasi untuk kediaman anda dan membantu dalam menyelesaikan masalah penggunaan ruang, ekspresi gaya tersendiri dan reka bentuk yang sesuai dengan keperluan individu.
IKEA mengekalkan Katalog dalam format buku dan 900,000 salinan telah diedarkan ke kawasan kediaman di Lembah Klang. Walaupun dunia kini berada di zaman digital, masih ada yang menghargai nilai medium cetak untuk keberkesanannya dalam menyampaikan maklumat tertentu.
Kajian dalam talian yang dijalankan oleh IKEA baru-baru ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih mengamati buku fizikal berbanding format digital bagi bahan bacaan tertentu. Ini termasuk buku cerita kanak-kanak (84%), majalah (82%), bahan pendidikan (74%), komik (73%), dan manual arahan (63%). Kajian ini juga mendapati bahawa 2 daripada 3 orang responden (63%) lebih menggemari katalog perabot rumah dalam bentuk fizikal.
Sempena pelancaran Katalog IKEA 2015, IKEA Malaysia memperkenalkan “Kecanggihan Sebuah Buku”, iaitu konsep kreatif yang menonjolkan format buku sebagai teknologi baharu. Disampaikan menerusi video gurauan yang menarik, kempen ini bertujuan untuk mendekatkan orang ramai kepada ciri-ciri sebuah buku dengan istilah teknologi.
Katalog ini dikatakan mengandungi beribu-ribu idea menghias rumah yang telah ‘sedia pasang’ dengan fungsi ‘penanda buku’ yang mudah, pelayaran ‘paparan halaman segera’ dan ‘jangka hayat bateri’ abadi. Video pelancaran IKEA, yang menjadi sebutan di ruangan siber sebagai IKEA Bookbook™, telah mecapai sebaran hangat dengan lebih 10 juta tontonan di YouTube sehingga kini.