Beauty is Pain. Ingin cantik sanggup berhabisan ribuan ringgit. Ingin cantik sanggup merasa sakit dengan rawatan kecantikan. Pernah mendengar rawatan kolagen? Plasenta? Dan juga vitamin? Apa perbezaannya?
Kolagen – Kolagen ialah sejenis protein yang banyak terdapat di dalam tubuh manusia dan memainkan peranan yang penting. Kolagen membantu membentuk tisu dalam badan selain memberi sokongan pada tubuh. Kolagen terdapat pada otot, tulang, kulit, tendon dan tulang rawan. Apabila umur meningkat, kolagen di dalam badan menurun dan menyebabkan kulit kendur dan tulang rapuh.
Jenis-jenis kolagen :-
1. Oral kolagen suplemen dalam bentuk pil atau minuman menjanjikan pengurangan penyakit seperti arthritis, membantu penurunan berat badan, membina otot dan rejuvenasi kulit.
2. Krim kolagen pula dikatakan dapat membantu menegangkan kulit tapi pada hakikatnya kolagen molekul terlalu besar untuk diserap. Suntikan kolagen untuk mengembalikan ketegangan kulit dan menghilangkan kedut pada kulit.
3. Suntikan kolagen juga boleh digunakan untuk menghasilkan bibir yang lebih tebal. Rawatan kolagen dari segi medikal ialah oral glucosamine dan suntikan pada sendi.
Plasenta – Plasenta merupakan uri. Kebanyakan rawatan plasenta diambil dari kambing biri-biri yang dipelihara khas untuk urinya. Ada juga yang diambil dari uri manusia. Sel-sel diambil daripada uri dan dijadikan pil atau dalam bentuk suntikan. Tujuannya ialah untuk memperbaharui sel-sel tua di dalam badan. Namun demikian sijil halal tidak diperolehi. Ada juga plasenta yang diambil dari pokok soya yang baru bercambah dikenali sebagai vegeplasenta.
Vitamin –
1. Vitamin A, B, C, D, E dan K mempunyai fungsi yang berbeza dan hanya diperlukan dalam kuantiti yang sedikit kecuali ketika hamil, menyusukan anak atau pertumbuhan bayi dan kanak-kanak.
2. Pengambilan suntikan vitamin C akan membantu badan menghasilkan lebih banyak kolagen dan mampu menghasilkan kulit yang tegang. Vitamin C juga dapat mencerahkan kulit dengan ciri-ciri antioksidannya selain dapat menguatkan sistem imunisasi badan.
3. Beza rawatan kolagen secara oral dan suntikan Kolagen sentiasa dibina di dalam badan dan enzim kolagenase sentiasa mengekalkan tahap kolagen di dalam badan. Rawatan kolagen oral atau glucosamine biasanya diberi kepada pesakit yang mengalami osteoartritis di mana pelincir di dalam sendi sudah berkurangan. Suntikan hyaluronik asid juga boleh disuntik ke dalam sendi tersebut.
4. Bagi rawatan estetik pula, suntikan hyaluronik asid disuntik di bawah kulit untuk mengurangkan kedutan pada kulit dan mengembalikan ketegangan kulit. Hyaluronik asid disuntik dalam bentuk fillers untuk meratakan parut, mengubah hidung yang senget atau pipi yang jatuh akibat proses penuaan. Rawatan ini perlu diulang kerana hyaluronik asid ini akan dibinasakan oleh enzim di dalam badan kita.
Fahami tentang sesuatu rawatan kecantikan sebelum mencuba
Difahamkan ketiga-tiga rawatan kecantikan ini amat berbeza fungsi dan kesesuaiannya dengan wanita. Ada rawatan yang hanya sesuai untuk kelompok umur tertentu. Maka sebab itulah amat penting untuk seorang wanita mendapatkan info tentang sesuatu rawatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Ini bagi memastikan ia memberikan manfaat kepada mereka. “Sebagai contoh, rawatan yang kini menjadi kegilaan kaum wanita iaitu rawatan menggunakan ibu kolagen. Sebenarnya ia merupakan kolagen dari rumpai laut. Walau pun ia hangat diperkatakan namun tiada kajian medikal yang dilakukan tentang keberkesanan bahan ini untuk rawatan kulit.
Rawatan oral kolagen biasanya berasaskan protein dari haiwan. Sekiranya seseorang itu ada alergi, ia boleh mengakibatkan rangsangan negatif serta alahan. Setiap rawatan sekiranya berlebihan akan memberi kesan sampingan jangka pendek atau panjang. Ikutlah peraturan untuk pengambilan sesuatu suplemen. Jika tiada kesan sampingan pun, ia adalah satu pembaziran sekiranya badan tidak memerlukan. Sekiranya anda ingin mencuba oral kolagen, ketahuilah bahawa industri suplemen ini tidak dipantau. Oleh sebab itu kandungan kolagen dan keberkesanan sesuatu produk sukar diketahui. Sekiranya anda ingin mendapatkan suntikan kolagen, perlu anda ketahui bahawa risikonya mungkin sama seperti risiko suntikan lain seperti botox dan filler.
Apa yang penting ialah pemakanan yang seimbang dari segi karbohidrat, protein, lemak, serat dan vitamin. Kolagen membekalkan protein pada kulit. Sarang burung dan Caviar juga adalah sumber kolagen yang berfungsi sebagai anti penuaan. Dari sudut perubatan, rawatan kolagen sebenarnya adalah dalam bentuk suntikan tetapi bukan melalui salur darah tetapi dimasukkan di bawah lapisan kulit (filler).
Rawatan plasenta
Rawatan menggunakan plasenta atau uri agak mahal harganya dan individu sama ada lelaki mahu pun wanita sesuai menggunakannya. Namun ia lebih kepada rawatan anti penuaan. Antara golongan yang sesuai mengambil rawatan jenis ini ialah wanita yang sudah menopaus dan perlu mengikut dos yang tertentu. Semakin tinggi dos yang digunakan semakin mahal kos rawatan yang perlu dibiayai oleh pengguna.
Kebanyakan plasenta diambil dari biri-biri baka yang baik. Selalunya kambing biri-biri ini adalah dari New Zealand dan Switzerland. Plasenta kambing biri-biri menjadi pilihan kerana dikatakan haiwan ini tidak menyebarkan penyakit seperti lembu (mad cow disease) selain lebih kurang sama dengan plasenta manusia. Plasenta perlu diambil dengan teknik yang betul dan disimpan dalam suhu yang sesuai. Walau bagaimana pun ada juga plasenta yang diambil dari rusa namun ia kurang popular.
Selain memperbaharui sel-sel yang telah tua di dalam badan, kebanyakan individu yang mengambil plasenta akan berasa lebih bertenaga. Contohnya kucing yang baru melahirkan akan makan urinya sendiri supaya badannya bertenaga semula. Ada juga rawatan menggunakan plasenta manusia yang dianggap terbaik tetapi ia punya risiko perubatan yang tertentu. Sebenarnya walau pun ramai yang menyebutnya sebagai rawatan menggunakan plasenta tetapi sebenarnya ia lebih kepada Stem Cell atau sel setem.