Kami tahu semakin ramai pengguna media sosial yang serius dalam menghasilkan kualiti gambar terbaik untuk dimuatnaik ke akaun media sosial mereka. Ini adalah satu perkembangan positif kerana sekurang-kurangnya ada manfaat dan faedah yang boleh mereka dapati apabila menggunakan media sosial seperti kemahiran mengedit gambar, memilih lokasi, menonjolkan kreativiti dan sebagainya.
Untuk artikel kali ini, kami ingin berkongsi satu lokasi menarik yang boleh kamu masukkan dalam senarai lokasi penggambaran, mungkin untuk latar belakang #OOTD, mungkin penggambaran pra-perkahwinan, untuk filem pendek Youtube atau apa saja.
Kampung Kepayang, sebuah bandar tinggal yang terletak di Ipoh, Perak. Ia telah dibuka sejak awal kurun ke 17 oleh Tok Changkat Rembia. Walaupun ia sebuah bandar tinggal, namun struktur bangunan lamanya sangat unik. Masih terdapat beberapa kedai seperti kedai gunting rambut dan sebuah masjid iaitu Masjid Ahmadiah beroperasi di bandar ini, tapi selain daripada itu, ia memang sebuah bandar yang telah mati.
Kampung ini telah dibuka pada tahun 1800an oleh Toh Sedewa Domba dan merupakan pekan tertua di Kinta.Beliau telah bertanggungjawab membangunkan perlombongan bijih timah di situ.Bijih timah yang dilombong di sini akan dibawa melalui Sungai Raia ke Batu Gajah ketika itu.Kekayaan yang diperolehi oleh Toh Sedewa Domba telah membolehkan beliau membina kediaman besarnya di pinggir Kampung Kepayang.Beliau turut membina sebuah pekan yang lengkap dengan kedai,pasar dan masjid di Kampung Kepayang yang mana masih ada sehingga sekarang.
Disebabkan jalan besar menjadi sibuk, akibatnya sepanjang jalan raya kekurangan tempat letak kereta, oleh itu kedai-kedai di sepanjang jalan terjejas perniagaannya, dan terpaksa gulung tikar. Walaupun Kampung Kepayang telah menjadi sebuah pekan hantu, namun alamat-alamat bagi kawasan itu yang berposkod 31300, termasuk Simpang Pulai, masih bertulis “Kampung Kepayang” sebagai nama pekan atau bandar. Ini adalah kerana mel yang dihantar ke kawasan ini adalah ditangani oleh Pejabat Pos Kampung Kepayang yang kini telah berpindah ke Simpang Pulai. Kini terdapat sebuah kawasan perumahan yang baru di seberang Sungai Kepayang, bernama Taman Seri Raya.
Selain daripada itu, kami juga tertarik dengan kewujudan sebuah kuil, iaitu Murugan Temple di Kampung Kepayang ini. Lihatlah bahagian dalamnya, menarik kan?
Jika kamu berminat hendak melawat sendiri bandar tinggal ini, ia terletak berhampiran stadium dan melepasi tol Simpang Pulai. Tapi awas, kalau terjumpa sebarang keangkeran, jangan cari kami.
Sumber : Perak Historical Crew & Wikipedia