UBER, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan melalui aplikasi telefon pintar untuk pengguna di Malaysia rupanya memberi perkhidmatan tanpa mengikut sistem perundangan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Fakta – Rupanya Syarikat Teksi UBER Beroperasi Secara Haram
Terkini, satu operasi bersepadu besar-besaran akan diadakan bermula 1 Oktober ini bagi membendung kegiatan lapan syarikat teksi tempatan yang menawarkan perkhidmatan melalui aplikasi telefon pintar dinamakan Uber langsung mengakibatkan pemandu teksi tempatan tidak dapat `cari makan’.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, operasi dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu perlu dilakukan segera kerana perkhidmatan Uber didapati menjejaskan operasi perkhidmatan teksi tempatan terutama di Lembah Klang.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lapan syarikat yang bekerjasama dengan Uber bagi menyediakan perkhidmatan berkenaan membabitkan 50 kenderaan penumpang.
“Perkhidmatan ini semakin mendapat sambutan dan ia semakin meluas bukan saja di Lembah Klang tapi di bandar besar seluruh negara. Jika tidak dibendung, ia mungkin menyebabkan pengusaha teksi tempatan gulung tikar,” katanya.
Katanya, berdasarkan peruntukan sedia ada, perkhidmatan Uber didapati melanggar Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Ahmad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas bagi kenderaan penumpang yang menawarkan perkhidmatan Uber itu.