Tak semua orang sanggup makan peria kerana rasanya yang pahit, malah pahit yang boleh dikatakan seperti ubat. Walaubagaimanapun, peria atau nama saintifiknya Momordica charantia diakui sejak zaman dahulu lagi akan khasiatnya dalam perubatan tradisional berasaskan herba.
Untuk pengetahuan anda, terdapat dua jenis peria iaitu peria biasa yang berbentuk panjang dan juga peria katak bersaiz lebih kecil. Kebiasaannya, pokok peria ini mudah didapati di negara-negara beriklim tropika yang panas dan khatulistiwa seperti di negara kita, Indonesia, Sri Lanka, India dan Filipina.
Sayur peria amat diminati oleh masyarakat Cina. Walaupun pahit tetapi mempunyai banyak khasiat. Bagi mengurangkan rasa pahit, peria direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dimasak.
Antara kebaikan sayuran peria :-
1. Setiap 100 gram peria mengandungi 0.8 gram protein untuk membina tisu badan, 2.9 gram karbohidrat untuk tenaga, 0.9 gram fiber untuk penghadaman dan 56 miligram kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.
2. Peria juga boleh mencuci darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan gatal-gatal. Caranya ialah dengan meminum segelas perahan buahnya yang dicampur dengan perahan limau nipis. Lakukan amalan ini selama tiga hingga empat bulan. Ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah gout, lelah, darah tinggi dan kencing manis. Bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan alkohol, anda boleh cuba meminum perahan daunnya.
3. Perahan yang sama juga boleh digunakan untuk mengubati buasir. Caranya ialah mencampurkan perahan air daun peria dengan segelas susu dan amalkan selama sebulan; manakala akarnya dilumatkan dan airnya disapukan pada bahagian buasir.
4. Walaupun pahit, peria mengandungi tonik yang bertindak sebagai julap dan membuka selera makan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan ulam oleh wanita yang baru bersalin untuk menambah susu badan.