Andreas Gindelhuber dari Austria, pada awalnya membeli hartanah di kawasan perumahan di Detroit, Amerika Syarikat dengan harga sekitar RM120,000 dengan harapan untuk mendapat sedikit keuntungan daripada sewa rumah. Tetapi pasaran hartanah di Detroit terus menjunam dan nilai rumah di kawasan itu menjadi lebih buruk apabila ramai orang meninggalkan rumah mereka. Apabila penyewa meninggalkan rumah itu tujuh bulan yang lalu, dia mempunyai hutang cukai hartanah lebih RM18,000.
Beliau mengupah seorang ejen tempatan, Larry Else, untuk menjual rumah dengan harga serendah RM9,000. Walau bagaimanapun dia tidak dapat menjualnya setelah 4 bulan mengiklankan rumah miliknya. Baru-baru ini, Gindelhuber memutuskan dia bersedia menukar rumahnya untuk iPhone 6 atau iPad. Larry berkata, walaupun dilengkapi ruang bawah tanah dan garaj serta terletak tidak jauh dari bandar Detroit, rumah di kawasan berkenaan sukar dijual. Menurut Else, ada pemilik rumah di kawasan itu juga yang gagal menjual rumahnya sanggup menukar hartanah itu dengan sebuah kereta Chevy keluaran 1994.
Apa yang berlaku seterusnya adalah salah keajaiban internet. Sebuah portal di Amerika telah menulis artikel mengenai kisah penukaran rumah dengan iPhone 6 itu dan cerita itu menjadi viral. Akhirnya , rumah itu berjaya dijual dengan harga kurang dari RM3,000. Tetapi Gindelhuber masih tidak dapat memiliki iPhone 6 dan dia mendapat emel dari seorang lelaki Jerman yang membaca kisahnya di dalam sebuah majalah Jerman dan mahu menderma iPhone 6 miliknya.