Malala Yousafzai merupakan remaja Pakistan yang suatu masa dahulu pernah ditembak oleh puak Taliban sehingga hampir membawa maut dua tahun lalu kerana memperjuangkan hak untuk wanita memperolehi pendidikan telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Nobel untuk keamanan. Malala mencatat sejarah sebagai penerima anugerah Nobel yang termuda.
Jawatankuasa Anugerah Nobel menegaskan:
“Di sebalik usia mudanya dan malapetaka yang menimpanya, Malala Yousafzai tanpa henti terus memperjuangkan hak wanita untuk memperolehi pendidikan dan sekaligus menunjukkan teladan bahawa kanak-kanak dan golongan remaja pun mampu menyumbang untuk memperbaiki situasi mereka. Dan dalam kes Malala dia telah melakukannya dalam situasi yang sangat berbahaya kepada keselamatan dan nyawanya.”
Pada Oktober 2012, puak Taliban telah menyerbu masuk ke dalam bas sekolah yang dinaikinya lalu melepaskan tembakan sehingga mencederakannya. Dia terkena tembakan di kepala. Malala kemudiannya telah diterbangkan ke Britain untuk mendapatkan rawatan khusus di Hospital Queen Elizabeth di Birmingham, yang mana menyaksikan dia melalui beberapa proses pembedahan pada kepalanya sehingga berjaya dipulihkan.
Kini, Malala tinggal bersama bapa, ibu dan dua saudaranya di Birmingham dan belajar di sekolah tempatan. Sejak insiden tersebut, Malala telah menghasilkan buku, “I Am Malala”, menyampaikan ucapan di forum dan seminar antarabangsa dan dianugerahkan penghormatan oleh Parlimen Eropah.