Yayasan Pink Ribbon Wellness (L) melancarkan Simposium Life Beyond Breast Cancer 2015 yang akan berlangsung mulai 19 Mac sehingga 21 Mac 2015 di Kuala Lumpur.
Simposium berkenaan – yang turut disokong oleh Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM), Kelab Rotary Bangsar dan Connexion@Nexus akan memaparkan pembentangan oleh 80 doktor mengenai pelbagai topik, antaranya berkenaan wanita muda yang hidup dengan kanser payudara, kehamilan selepas kanser, pemakanan sewaktu berhadapan kanser, mencegah kanser payudara yang berulang dan risiko genetik penyakit berkenaan. Satu siri bengkel dan perkongsian maklumat oleh bekas pesakit kanser juga menjadi sebahagian daripada agenda buat symposium yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Connexion@Nexus, Bangsar South City Kuala Lumpur.
Simposium berkenaan akan dikendalikan dalam tiga bahasa untuk kemudahan hadirin yang menyertainya. Yayasan tersebut menawarkan yuran sebanyak RM600 untuk peserta yang mendaftar awal, bermula sekarang sehingga 30 November 2014, manakala yuran untuk mereka yang mendaftar di antara 1 Disember 2014 sehingga 31 Januari 2015 adalah sebanyak RM750.
Datuk Dr M Devanand menambah, “Yayasan menyediakan subsidi sebanyak 40 peratus untuk peserta awal yang mahu menyertai simposium tersebut. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kesedaran, bertukar pengetahuan dan idea mengenai kanser payudara supaya mereka lebih faham tentang penyakit berkenaan dan membantu untuk menyebarkan maklumat tersebut kepada orang di sekeliling mereka.”
Untuk syarikat-syarikat korporat terutama dalam bidang farmaseutikal atau mempunyai produk dan perkhidmatan berkaitan kanser payudara seperti suplemen/pemakanan, makanan kesihatan, senaman, pengurusan tekanan atau produk kecantikan, terdapat peluang untuk membuka ruang pameran pada simposium berkenaan. Untuk maklumat mengenai Simposium Life Beyond Breast Cancer ini, proses pendaftaran atau membuka ruang pameran pada acara tersebut, layari www.facebook.com/PinkRibbonWellnessFoundation atau hubungi 03- 2242 3121.
Pada majlis pelancaran berkenaan, Yayasan Pink Ribbon Wellness (L) turut memperkenalkan aplikasi telefon mudah alih MyPinkHealth untuk Apple dan Android (menerusi browser), yang direka untuk menyediakan berita dan maklumat terkini mengenai kanser payudara serta menyebarkan informasi tentang kesemua aktiviti Yayasan. Aplikasi telefon mudah alih itu percuma dan tiada yuran untuk pendaftaran.