Sejak dua tiga hari lepas, satu video seorang gadis bertudung menuturkan frasa ‘Ale Uto’ dan memakai kemeja T ‘Ale Uto’ dan kini ia menjadi viral di internet. Apa motif sebenar video ini dan mengapa remaja masa kini mencari perhatian sehingga sanggup buat benda yang tidak berfaedah?
Menurut laporan Astro Awani yang menemubual Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan, orang muda yang sering menuturkan perkataan ini boleh juga dianggap mahu menagih perhatian daripada masyarakat dan kini ia menjadi trend. Menurut Dr Abdul Jalil, trend remaja yang suka mengungkap perkatan berunsur lucah ‘ale uto’ (yang merupakan singkatan kepada perkataan yang membawa maksud lucah) di dalam perbualan seharian mereka.
Ada pihak yang mengangkat golongan yang mempunyai masalah sikap ini menjadi hero laman sosial dan berkata mereka ini tidak bermuka-muka dan jujur. Kanak-kanak semuda 11-12 tahun juga mula menggunakan laman sosial tanpa dipantau ibubapa dan dibiarkan bebas bergaul, dan membaca perkara yang tidak sepatutnya di internet. Ini menyebabkan mereka rasa perkara yang tidak bermoral itu ‘normal’ kerana selalu melihatnya di internet. Natijahnya, ramai remaja yang akan rosak akhlaknya kerana tidak ada garis panduan untuk mengajar anak-anak muda ini menggunakan internet secara berhemah dan anak-anak yang bebas bergaul di laman sosial ini meniru perbuatan yang tidak bermoral. Jelasnya, selain menjadi kegilaan orang ramai, aktiviti yang dilihat menjengkelkan itu menjadi petanda kepada masalah psikologi.
Menurut seorang pakar psikoterapi Azman Shah Aziz, dia menafikan tingkah laku itu merupakan masalah psikologi namun menganggapnya lebih kepada nilai kehidupan. Mungkin mereka akan dilihat mempunyai masalah emosi jika terlebih maki. Tetapi mereka ini bukan dalam kelompok yang kurang kasih sayang. Bagi penulis apa yang penting, adalah diri sendiri. Orang dewasa yang sepatutnya menjadi contoh yang baik buat anak-anak remaja dan kanak-kanak.